Isnin, 27 March 2017 | 6:15pm

Agrobank: Takaful IKHLAS sasar premium RM211 juta

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman (tiga dari kanan) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Berhad, Datuk Ab Latiff Abu Bakar (tiga kiri) pada majlis pemeteraian MoU antara Takaful IKHLAS dan Agrobank di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman (tiga dari kanan) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Berhad, Datuk Ab Latiff Abu Bakar (tiga kiri) pada majlis pemeteraian MoU antara Takaful IKHLAS dan Agrobank di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: TAKAFUL Ikhlas Bhd (Takaful IKHLAS), anak syarikat MNRB Holding Bhd, menyasar meraih sumbangan premium RM211 juta dalam tempoh lima tahun menerusi kerjasama terbarunya dengan Agrobank.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Latiff Abu Bakar, berkata sepanjang tempoh usaha sama lima tahun itu, Takaful IKHLAS akan bertanggungjawab memperkenalkan lebih banyak produk inovatif khusus untuk Agrobank, bagi membolehkan Agrobank menawarkan produk yang komprehensif.

Beliau berkata, sebagai permulaan Takaful IKHLAS dan Agrobank sudah melancarkan Agro Nurani, iaitu pelan takaful yang dirangka khusus untuk Orang Kurang Upaya (OKU) Januari lalu. Ia adalah produk perlindungan takaful pertama seumpamanya di negara ini.

"Bagi meneruskan kerjasama ini, Takaful IKHLAS dan Agrobank akan melancarkan pelan takaful pendidikan pertengahan tahun ini.

"Kami menyasar meraih sumbangan premium RM211 juta dalam tempoh lima tahun menerusi kerjasama ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Takaful IKHLAS dan Agrobank di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.

Ditanya berhubung prestasi kewangan Takaful IKHLAS untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2017, beliau berkata pihaknya yakin meraih pendapatan sumbangan kasar lebih baik berbanding tahun kewangan sebelumnya.

"Kami berharap meraih pendapatan sumbangan kasar mencecah RM1 bilion dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2017," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X