Isnin, 27 March 2017 | 9:14pm

Kami profesional - Fattah Amin

Pelakon, Abdul Fattah Mohd Amin atau dikenali Fattah Amin. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Bintang sensasi, Fattah Amin, 26, tidak mempunyai masalah, malah menyambut baik kerjasama kedua yang bakal terjalin antara beliau dengan pelakon jelita, Neelofa, 28.

Kedua-duanya akan kembali bergandingan dalam telefilem raya, Suri Hati Mr Pilot (SHMP) yang dijangka memulakan penggambaran pada 9 hingga 16 April depan.

Kata Fattah, dunia industri hiburan di Malaysia adalah kecil, justeru kebarangkalian untuk masing-masing kembali bertemu dan bekerjasama tetap ada.

"Industri kita ini kecil, pusing-pusing pun tetap muka yang sama yang kita jumpa. Antara saya dan pihaknya pula memang tiada masalah. Malah, kami masih berkawan.

"Cuma, apa yang saya boleh kongsi, antara saya dengan dirinya, kami mengamalkan sikap profesional dalam mengendalikan setiap tugas yang diberikan. Jadi, saya melihat kerjasama antara kami sebagai sesuatu yang positif.

"Saya pun tidak pernah terfikir kerjasama kami dalam dunia seni akan berakhir. Apatah lagi kami sendiri senang bekerjasama.

"Beberapa hal berbangkit sebelum ini terjadi atas faktor yang tidak dapat dielakkan. Keputusan itu juga mungkin yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak," kata Fattah kepada BH Online.

Semalam, dua bintang terkenal itu mengesahkan mereka akan kembali bergandingan dalam SHMP versi telefilem untuk siaran musim Aidilfitri nanti.

Sebelum ini, Neelofa dilaporkan takkan membintangi sebuah lagi projek lakonan yang sepatutnya menggandingkan mereka, Hero Seorang Cinderella, atas alasan yang enggan dikongsi bersama umum.

Begitupun, keputusan itu difahamkan ada kaitannya dengan gosip cinta yang melanda mereka sebelum itu.

Drama lakonan kedua-duanya, SHMP, menjadi fenomena pada tahun lalu sehingga ramai peminat yang berharap Fattah dan Neelofa akan kembali bersatu dalam projek terbaru itu.

"Kepada semua peminat SHMP dan Lofattah, terima kasih di atas sokongan yang diberikan. Hanya Tuhan yang mampu membalas budi baik kalian. Teruskan berdoa yang baik-baik," kata Fattah yang turut mengasah bakat nyanyiannya menerusi lagu Wanita Terakhir.

Dalam perkembangan lain, Fattah baru saja selesai menjalani penggambaran drama bertajuk Dia Anak Jeneral untuk siaran RTM.

Selepas itu, beliau akan menjayakan pula drama Hero Seorang Cinderella. Bagaimanapun, gandingannya dalam drama arahan Michael Ang itu sehingga kini belum diketahui.

Berita Harian X