Isnin, 27 March 2017 | 10:51pm

Israel tahan 22 pesalah seks ultra-Ortodoks


20 anggota ultra-Orthodoks Yahudi disyaki pesalah seks ditahan. - Foto AFP

BAITULMAQDIS: Polis Israel hari ini menahan lebih 20 anggota ultra-Orthodoks Yahudi disyaki pesalah seks yang mana jenayah mereka diketahui masyarakat tetapi disembunyikan daripada pihak berkuasa.

Penahanan itu susulan satu siasatan secara penyamaran dalam masyarakat ultra-Orthodoks, yang sering menutup masyarakat sekular dan hidup menurut ajaran agama yang jumud.

Polis berkata, 22 lelaki terbabit, berusia 20 hingga 60 tahun dari Baitulmaqdis, Bnei Brak Beit Shemesh dan penempatan ultra-Orthodoks Tebing Barat di Beitar Ilit, didakwa melakukan jenayah seks ke atas wanita, belia dan kanak-kanak sejak dua tahun lalu.

Kenyataan berkata, anggota masyarakat, bertindak dengan kebenaran kepimpinan pendita Yahudi, menyiasat jenayah dan dakwaan pelaku serta menjalankan proses dalaman yang membolehkan suspek terlepas daripada disiasat polis.

"Dalam kebanyakan kes, suspek diarah mendapatkan rawatan dalam masyarakat," kata polis sebaliknya 'berpuluh mangsa tidak menerima rawatan diperlukan.'

Polis berkata, suspek kini sedang disoal dan jika perlu akan dihadapkan ke mahkamah.

Masyarakat ultra-Orthodoks mewakili kira-kira 10 peratus jumlah penduduk Israel. - AFP

436 dibaca
Berita Harian X