Selasa, 28 March 2017 | 11:18am

Edar ganja: Pemandu lori ke tali gantung

PEMANDU lori, Wan Mohamad Lutfi Jaffar dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah mengedar 2.7kg ganja pada 2014. - Foto Efendy Rashid
PEMANDU lori, Wan Mohamad Lutfi Jaffar dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah mengedar 2.7kg ganja pada 2014. - Foto Efendy Rashid

IPOH: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi, selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar 2.748 kilogram ganja tiga tahun lalu.

Tertuduh, Wan Mohamad Lufti Jaffar, 35, turut dijatuhi hukuman tiga tahun penjara dan lima sebatan atas satu lagi kesalahan iaitu memiliki 34 gram dadah jenis sama.

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi kedua-dua pertuduhan terhadap tertuduh.

Katanya, mahkamah mendapati pembelaan dalam kes itu pula berbentuk penafian semata-mata dan memindahkan kesalahan kepada orang lain yang diada-adakan.

Bagi tuduhan pertama, Wan Mohamad Lufti didapati bersalah mengedar 2.748 kilogram dadah berkenaan di hadapan premis GD Express Sdn Bhd di No 213, Jalan Taiping, Parit Buntar, Kerian, kira-kira jam 12.10 tengah malam pada 26 Julai 2014.

Dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Wan Mohamad Lufti juga didapati bersalah memiliki 34 gram ganja di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan boleh dikenakan sebatan antara tiga hingga sembilan sebatan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong manakala tertuduh diwakili peguam Khairil Khalil.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X