Selasa, 28 March 2017 | 4:34pm

Jihan tak tertekan soal anak


JIHAN tidak tertekan walaupun kerap diajukan persoalan mengenai cahaya mata.

KUALA LUMPUR: Genap setahun mendirikan rumah tangga, pengacara, Jihan Muse, 34, menjelaskan beliau tidak tertekan walaupun kerap diajukan persoalan mengenai cahaya mata.

Jihan atau nama penuhnya, Nuur Jihan Musa, berkata beliau bersyukur kerana keluarga kedua-dua pihak juga cukup memahami.

"Alhamdulillah, sebelum berkahwin hingga sekarang, keluarga tidak pernah bertanya mengenai perkara ini. Kami berdua juga tidak merancang, sekiranya andai ada rezeki, kami tentunya menerima anugerah itu dengan tangan terbuka.

"Sebenarnya isu cahaya mata ini sering kali diajukan oleh rakan media, keluarga tidak pula membuka mulut bertanya. Jadi, saya tidak pernah rasa tertekan berhubung hal ini kerana saya menyerahkan sepenuhnya kepada soal rezeki," katanya kepada BH Online.

Jihan sah bergelar isteri kepada Ungku Hariz, 32, pada 20 Mac tahun lalu dalam majlis ringkas di Laman Kayangan, Shah Alam.

Dalam perkembangan terbaru, Jihan bakal menjalani penggambaran drama bersiri, Biniku Ninja, di Eropah selama sebulan setengah.

Drama rantaian berkenaan menampilkan Jihan bersama suaminya selaku teraju utama.

"Lega rasanya apabila mendapat tawaran berlakon bersama suami kerana penggambaran dijadualkan berlangsung di luar negara, lebih daripada sebulan. Kalau boleh, saya tidak mahu tanggungjawab sebagai isteri terabai.

"Sebelum ini, kami pernah juga bergandingan bersama, jadi tidaklah kekok untuk saya dan suami menerima tawaran menjayakan Biniku Ninja. Malah, Astro Oasis sendiri lebih selesa untuk menampilkan pasangan suami isteri sebagai teraju utama dalam produk siaran mereka," kata Jihan.

Drama rantaian arahan Syed Fariz itu bakal bersiaran sepanjang Ramadan depan dan ia turut menampilkan Mark Adam serta Zain Hamid.

Berita Harian X