Selasa, 28 March 2017 | 6:44pm

RM15,000 menunggu kaki pancing di Kepong


SURIYANI (dua dari kiri) dan Timbalan Pengarah (Hortikultur), Jabatan Landskap dan Rekreasi, DBKL, Norazam Mohamed Nor (kanan sekali) melepaskan spesis ikan patin seberat 3 hingga 6 kg di Taman Tasik Metropolitan, Kepong, di sini. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Siri ketiga pertandingan memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tahun ke 6, Ahad ini akan berlangsung di Taman Tasik Metropolitan, Kepong, di sini.

Pemilihan lokasi itu, yang juga dikenali sebagai Taman Layang-Layang, bukan kerana tasik terbabit kaya dengan pelbagai jenis ikan air tawar, bersaiz besar, sebaliknya menjadi lokasi tumpuan warga bandar raya beriadah bersama keluarga, pada hujung minggu.

Timbalan Pengarah, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, DBKL, Suriyani Zakaria,  berkata selepas enam tahun, menganjur JPKL, pihaknya mendapati memancing bersama keluarga, adalah aktiviti riadah yang sihat, pada hujung minggu.

Beliau berkata, pertandingan itu juga dapat mengumpulkan semua peringkat usia kaki pancing bukan sahaja dari sekitar ibu negara dan Selangor, malah dari kawasan yang berhampiran, sekurang-kurangnya sekali sebulan. 

Katanya, siri pertandingan itu dapat menambahkan semangat rasa cinta warga bandar raya kepada Wilayah Persekutuan dalam usaha memastikan keharmonian serta perpaduan warganya terus dikekalkan bagi kesejahteraan bersama, selari dengan slogan "Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera". 

"DBKL bukan sahaja mahu menjadikan wilayah ini sebagai sebuah bandar ceria, bersih serta indah tetapi juga kehidupan yang kondusif dan selamat seiring dengan konsep 'sense of belonging' yang ingin diterapkan kepada setiap warganya melalui 12 taman yang sedia ada.

"Kuala Lumpur kini mempunyai Taman Botani Perdana, Taman Rimba Kiara, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Manjalara, Taman Metropolitan Kepong, Taman Metropolitan Batu, Taman Tasik Datuk Keramat, Taman Tasik Permaisuri, Taman Bukit Jalil, Taman Rekreasi Pudu Ulu, Taman Tasik Ampang Hilir dan Taman Alam Damai," katanya.

Suriyani berkata, demikian selepas melepaskan lebih satu tan pelbagai spesies ikan termasuk patin yang bersaiz antara 3 hingga 6 kilogram (kg) ke tasik itu, hari ini.

Beliau berkata, tasik berkenaan mempunyai keunikan tersendiri kerana kaya dengan spesis ikan terbaik termasuk tongsan, patin dan toman yang bersaiz 10 hingga 20 kilogram.

Katanya, seramai 1,000 kaki pancing dari sekitar bandar raya ini dan Selangor dijangka memenuhi taman itu bagi merebutkan hadiah wang tunai RM15,000, Ahad ini.

"Sasaran itu berdasarkan rekod pada pusingan pertama di Taman Tasik Ampang Hilir dan pusingan kedua di Taman Tasik Permaisuri yang masing-masing mencatat lebih 1,000 pemancing.

"Juara pertandingan selama empat jam itu, bermula jam 8.30 pagi akan membawa pulang RM7,000 diikuti RM3,000 untuk naib juara dan ketiga mendapat RM1,000 di samping hadiah iringan sumbangan penaja," katanya.

Sementara itu pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM250, pemenang tempat ke-11 hingga 20 memperoleh RM150, pemenang tempat ke-21 hingga 30 mendapat RM70 manakala pemenang tempat 30 hingga 60  menerima RM40 setiap seorang.

Yuran RM30 dikenakan untuk sebatang joran dan pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu ini dari jam 3 petang hingga 10 malam.

Berita Harian X