Selasa, 28 March 2017 | 11:56pm

Tuntutan palsu: SPRM panggil 11 penjawat awam

SEREMBAN: Sebelas anggota serta pegawai polis dan kastam di negeri ini, dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung kes tuntutan palsu penginapan hotel.

Menurut sumber SPRM, mereka dipercayai sering mengemukakan butiran penginapan palsu untuk sewa bilik hotel ketika diarahkan menjalankan tugas rasmi di Lembah Klang sedangkan mereka tidak pernah menginap di hotel berkenaan.

"Penjawat awam berkenaan mengemukakan resit sewa bilik yang dipercayai mengandungi butiran palsu bagi mengelirukan jabatan masing-masing.

"Tuntutan palsu berkenaan dipercayai telah menjadi amalan dalam beberapa jabatan kerajaan di negeri ini sejak 2014," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Ramli Ismail, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009.

Beliau, dalam pada itu, tidak menolak kemungkinan untuk memanggil beberapa penjawat awam daripada pelbagai agensi lain di negeri ini yang melakukan kesalahan sama bagi membantu siasatan SPRM. - BERNAMA

Berita Harian X