Rabu, 29 March 2017 | 8:07am

Harga minyak dunia meningkat 2 peratus

NEW YORK: Harga minyak dunia meningkat dua peratus semalam selepas gangguan teruk terhadap bekalan minyak Libya dan cadangan supaya Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) serta pengeluar minyak lain meneruskan pengurangan pengeluaran sehingga akhir tahun.

Kumpulan bersenjata menyekat pengeluaran di telaga minyak barat Libya, Sharara dan Wafa, mengurangkan pengeluaran sebanyak 252,000 tong sehari atau kira-kira satu pertiga, kata seorang sumber di National Oil Corp (NOC).

NOC mengisytiharkan force majeure terhadap pemuatan minyak mentah dari telaga minyak itu.

Minyak mentah Brent naik 58 cents atau 1.14 peratus kepada AS$51.33 setong.

Kontrak minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) mengakhiri sesi semalam 64 cents atau 1.34 peratus lebih tinggi kepada AS$48.37 setong.

"Penutupan dua lapangan minyak Libya menyokong pasaran hari ini (semalam)," kata Pakar Niaga Hadapan Tenaga Citi Futures, Tim Evans dalam nota penyelidikannya.

Menteri Minyak Iran, Bijan Zanganeh, berkata persetujuan antara OPEC dan pengeluar bukan OPEC untuk mengurangkan pengeluaran dan mengurangkan lebihan bekalan minyak mentah global dijangka dilanjutkan melangkaui Jun. - Reuters

Berita Harian X