Rabu, 29 March 2017 | 12:29pm

BMW 5 Series baharu diperkenal

SHAH ALAM: BMW Group Malaysia hari ini melancarkan generasi ketujuh 5 Series di Malaysia, menerusi model BMW 530i M Sport serba baharu.

Model sporty sedan mewah itu dijangka meletakkan satu lagi penanda aras baharu di dalam segmen premium automotif di negara ini.

Ia meneruskan kesinambungan generasi keenam BMW 5 Series yang berada di pasaran dari 2010 hingga 2016.

Harga atas jalan tanpa insurans bagi BMW 530i M Sport serba baharu ialah RM398,800.

Ia disertakan dengan Jaminan Perbatuan Tanpa Had Lima Tahun, Program Servis Berjadual dan Program Jaminan Tayar BMW baharu BMW Group Malaysia.

Model serba baharu ini akan mula dijual di semua pengedar berlesen BMW seluruh negara mulai hujung minggu ini dan akan dipamerkan di pintu masuk utama Pavilion Kuala Lumpur dari Jumaat hingga Ahad ini.

Pengunjung yang menyertai pelbagai aktiviti interaktif berpeluang memenangi pengalaman eksklusif bersama BMW sepanjang model ini dipamerkan di Pavilion Kuala Lumpur.

Model baharu BMW 5 Series didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu Black Sapphire, Sophisto Grey Brilliant Effect, Alpine White dan Mediterranean Blue.

Ia dipadankan dengan kemasan dalaman kulit hitam Dakota dengan kontras jahitan biru atau kulit hitam kulit Dakota Cognac dengan jahitan kontras (hanya bagi Alpine White, Sophisto Grey Brilliant Effect dan Black Sapphire).

Pelancaran disempurnakan Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun di Hawker Pacific Hangar, dekat sini, sebentar tadi.

Berita Harian X