Rabu, 29 March 2017 | 6:21pm

Polis NS akui SPRM siasat pegawai, anggota

ANTARA barangan yang dirampas hasil serbuan di lapan pejabat dan unit kediaman yang dijadikan pusat operasi skim pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR) di Pulau Pinang, semalam. - Foto Ihsan PDRM

SEREMBAN: Polis mengesahkan anggota dan pegawai polis di negeri ini, antara 11 kakitangan awam yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes tuntutan palsu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata pada masa sama, polis menjalankan siasatan dalaman berhubung kes terbabit.

"Kita akan melihat setiap kelemahan yang ada berhubung kes tuntutan palsu dan memantau semua anggota dan pegawai, " katanya selepas majlis penyerahan peralatan sempena pameran Polis Kontinjen Negeri Sembilan di Sekolah Latihan Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Semalam, 11 pegawai dan anggota polis serta Jabatan Kastam Diraja di negeri ini, dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes tuntutan palsu penginapan hotel.

Mereka dipercayai mengemukakan butiran penginapan palsu untuk menyewa bilik hotel ketika menjalankan tugas rasmi di Lembah Klang walaupun tidak menginap di hotel berkenaan.

Pengarah SPRM negeri, Ramli Ismail, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Muhamad Zaki berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan SPRM bagi mengesan anggota dan pegawai yang terbabit dengan penyelewengan demikian.

"Kita serahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terbabit," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X