Rabu, 29 March 2017 | 9:27pm

OTC Asia 2018 sasar penyertaan lebih 70 negara


DATUK Wan Zulkiflee Wan Ariffin. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Penggiat industri minyak dan gas perlu mentakrifkan semula tumpuan mereka disebabkan industri itu kini menghadapi cabaran harga minyak yang tidak menentu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata penggiat industri minyak dan gas di Asia terutamanya perlu memainkan peranan penting menjadi peneraju industri global dan berdaya tahan.

"Industri minyak dan gas bukan pada harga minyak semata-mata, tetapi perlu mencari teknologi dan pendekatan baharu. Kita perlu menyesuaikan diri dengan era baharu yang semakin menggunakan teknologi sepenuhnya," katanya ketika majlis pelancaran Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia 2018 (OTC Asia 2018) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan PETRONAS, Datuk Mohd Anuar Taib dan Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan OTC Asia, Neil Kavanagh.

Wan Zulkiflee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat OTC Asia berkata, penganjuran OTC Asia 2018 kali ini adalah platform penting pemain industri mendapatkan maklumat mengenai prospek tenaga dan teknologi yang lebih dinamik.

Sementara itu, Neil Kavanagh berkata, OTC Asia 2018 dijangka dihadiri lebih daripada 25,000 peserta dari lebih 70 buah negara selain lebih daripada 450 pemimpin pemikir dan pakar teknikal.

Katanya, pihaknya juga menjangkakan OTC Asia 2018 bakal mengadakan lebih daripada 70 sesi persidangan dengan 350 kertas kerja teknikal dan lebih 270 pempamer.

"Kami menjangkakan 10 negara utama yang akan menyertai persidangan ini adalah dari Amerika Syarikat, United Kingdom, China, Australia, Indonesia, Korea Selatan, Belanda, Singapura, Thailand dan Malaysia selaku tuan rumah.

"Organisasi yang mengambil bahagian pula adalah seperti Baker Hughes, ConocoPhillips, ExxonMobil, GE Oil & Gas, Halliburton, MIDA, MODEC, Mubadala Petroleum, PETRONAS, PTTEP, Sapura Energy, Schlumberger, Shell, TechnipFMC, Weatherford," katanya.

Kavanagh berkata, turut diadakan bersempena dengan persidangan itu adalah anugerah mengiktiraf teknologi selain forum khas untuk golongan muda," katanya.

Mohd Anuar yang juga Ahli Jawatankuasa Penasihat OTC Asia berkata, sempena dengan persidangan kali ini, pihaknya memberi penekanan kepada teknologi baharu yang boleh disesuaikan dengan kehendak tenaga kerja muda.

Katanya, ketika ini lebih 50 peratus tenaga kerja dalam industri ini daripada mereka yang berusia bawah 35 tahun, sekali gus perkongsian dan perbincangan mengenai teknologi baharu adalah inti pati yang harus ada dalam persidangan kali ini.

Berita Harian X