Khamis, 30 March 2017 | 6:40am

Syukur benteng tunduk syaitan

IBLIS berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur". (Surah Al-A'raaf, ayat 16 &17).

Telah termaktub janji sumpah syaitan terhadap bani Adam di dalam al-Quran untuk memesong manusia selagi tidak tiba Hari Pembalasan.

Ustazah Norhafizah Musa menerusi slot Tarbiyah di IKIMfm yang bersiaran pada jam 10.15 pagi, Jumaat lalu memberi penyelesaian untuk menewaskan musuh paling utama dengan menjadi manusia bersyukur. Bersyukur kepada nikmat yang jelas terlihat di mata, malah pada nikmat tersirat yang tersembunyi.

Mereka ini sentiasa sedar hidupnya diliputi nikmat akan dapat melihat kehebatan si Pemberi Nikmat. Sungguh, iblis lumpuh pada mereka yang bersyukur.

Justeru, jika matlamat utama syaitan melalaikan manusia daripada sifat syukur, maka jadikanlah matlamat utama manusia untuk minta kepada Allah agar dibuka pintu pandangan hikmah melihat segala sesuatu sebagai perkara yang mampu di syukuri.

Allah Maha Penyayang, telah meletakkan manusia di dalam lautan nikmat dan kebaikan yang sangat banyak. Allah berfirman mafhumnya: "Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya". (Surah al-Baqarah, ayat 269).

Hikmah, adalah antara nikmat yang sering dilupakan kerana terkadang hadirnya tidak terasa, asbab tidak terlihat oleh pancaindera.

Manusia berjaya bukan dibanding dengan kejayaan

Kemampuan seseorang dalam mencari nilai kepada sesuatu perkara dan ketetapan dalam hidupnya adalah ilmu pemberian-Nya. Manusia yang dikurnia pandangan hati yang tajam dalam menilai sesuatu, hakikatnya menerima kebaikan yang sangat banyak daripada Allah SWT.

Setiap takdir yang berlaku dalam kehidupan adalah daripada Allah SWT yang semestinya sarat dengan kebaikan. Manusia yang berjaya, bukan dibanding dengan kejayaan demi kejayaan yang ditempa, tetapi makna kejayaan sebenar tatkala bijak mencungkil hikmah pada setiap takdir yang ditetapkan oleh-Nya.

Siapa manusia untuk menyangkal setiap yang berlaku? Jika seseorang itu berilmu dan tahu pasti akan dapat melihat di sebalik setiap perkara bukan sekadar pada zahirnya semata.

Tetapi semua itu juga datang daripada takdir dan keizinan Allah SWT. Setiap takdir yang wujud memudahkan jalan lain selepasnya. Walaupun nampak kusut dan menyesakkan pada peringkat awal, yakin dan percayalah itu cara Allah ingin menunjukkan pintu alternatif lain yang sedang terbuka untuk diri dan hidupnya.

Menjadikannya manusia yang lebih bijaksana, lebih berlapang dada dan lebih pintar membolos diri mencari penyelesaian dalam kemelut ujian yang dihamparkan dalam hidupnya.

Allah memberi bukan kepada perkara yang manusia mahu, tetapi Dia memberi pada perkara yang manusia perlu. Sungguh Allah itu Maha Mengetahui serta tidak pernah menjadikan sesuatu dengan sia-sia.

Sebagai hamba tadbirlah takdir semoleknya. Pandang setiap perkara pada letak duduk hikmah dan kebaikan yang terselit sebelum melumpuhkan diri dengan sifat putus asa.

Untaian hikmah Ibnu 'Atho'illah as-Syakandary mengungkapkan "tiada suatu nafas terlepas daripadamu, melainkan di situ pula ada takdir Allah yang berlaku atas dirimu."

Disebabkan tiap nafas hidup manusia pasti terjadi suatu sama ada taat atau maksiat, nikmat atau musibah (ujian). Justeru, barang siapa yang tidak boleh kembali dan benar-benar sujud menghambakan diri kepada Allah dengan sebanyak-banyak kebaikan yang telah dikurniakan Allah kepadanya.

Ujian tanda kasih sayang Allah

Maka atas nama kasih sayang, Allah berikan kepadanya ujian demi ujian sehingga manusia itu kembali kepada Allah dalam keadaan senang hati dan rela atau dipaksa oleh-Nya.

Lumrah sebahagian manusia, semakin ditabur banyak nikmat, maka semakin luput sifat taat. Justeru, atas nama kasih sayang Allah padanya dianugerahkan ujian demi ujian bagi membawa dan mengheretnya kembali kepada Pemberi Nikmat walau dengan rela mahupun terpaksa.

Allah SWT berfirman mafhumnya: "Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun)". (Surah al-Israa', ayat 20).

Rebutlah peluang atas segala yang Allah SWT telah sediakan kerana dalam setiap baik dan buruk pemberian tersirat hikmah yang menenangkan bisa mendorong untuk kembali kepada fitrah kejadian serta kembali dalam dakapan kasih sayang Maha Pemberi segala kejadian.

Berita Harian X