Khamis, 30 March 2017 | 1:33pm

Taufan Debbie: Hujan lebat jejas misi bantuan

KEADAAN taufan Debbie jejas misi bantuan, kata Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk gambar kecil). - Foto AFP
KEADAAN taufan Debbie jejas misi bantuan, kata Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk gambar kecil). - Foto AFP

AYR: Hujan lebat menjejaskan usaha memberi bantuan hari ini selepas ribut kencang dan banjir mencetuskan kemusnahan dan suasana kelam kabut di timur laut Australia ketika pelancong mula meninggalkan pusat peranginan.

Taufan Debbie dengan kekuatan kategori empat melanda Pantai Bowen dan Pantai Airlie di Queensland Selasa lalu menyebabkan kemusnahan besar, termasuk menumbangkan banyak pokok dan menghanyutkan bot.

Ia kemudian semakin reda kepada kategori ribut tropika lemah ketika bergerak ke arah tenggara, namun masih membawa kelajuan angin yang kencang dan hujan lebat. Brisbane dijangka menjadi sasaran seterusnya.

Pakar meteorologi meramalkan bandar itu akan menerima jumlah hujan lebat dalam sehari dengan kawasan pesisir pantai popular Sunshine Coast dan Gold Coast juga dijangka banjir, sebelum ribut itu bergerak keluar pesisir, esok.

Kebanyakan kawasan pantai dan taman tema akan ditutup.

"Kita mempunyai sebuah negeri yang besar dan ribut ini mungkin mencetuskan kemusnahan di sepanjang kawasan pesisir pantai," kata Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk. - AFP

Berita Harian X