Khamis, 30 March 2017 | 5:31pm

Dua keluarga rayu sumbangan

R YAMMUNA bersama suami, S Purneasawaran melihat keadaann anaknya, P Prethish berusia 1 bulan yang menghidap masalah jantung saluran darah sempit bagi sumbangan orang ramai untuk membiayai kos pembedahan di Hospital Gleanegles. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Dua kanak-kanak berusia sebulan dan lapan tahun yang menghidap masalah jantung memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan di Hospital Gleneangles Kuala Lumpur, di sini.

Bagi, R Yammuna, 28, pengalaman mengalami lima kali keguguran memberi tamparan hebat buatnya dan  kini terpaksa melalui detik sedih sekali lagi apabila bayi yang dilahirkan disahkan menghidap saluran jantung sempit.

Bayi lelakinya, P Prethish berusia sebulan terpaksa di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas dikesan menghidap sakit jantung ketika usia dua hari.

Yammuna berkata, bayinya perlu dibedah segera, namun beliau dan suami, S Purneasawaran, 33, menghadapi masalah kewangan untuk menyediakan kos pembedahan yang dianggarkan mencecah RM60,000.

"Saya harap pembedahan dapat disegerakan kerana keadaan anak semakin teruk dan boleh meragut nyawanya.

"Saya dan suami merasa sangat susah hati apabila melihat dia bernafas laju dan tidak normal seperti bayi lain. Saya impikan selepas pembedahan nanti, saya dapat dukung dan menyusukan dia seperti orang lain," katanya yang juga seorang suri rumah.

Katanya, mereka menunggu empat tahun untuk menimang bayi, namun sedih apabila bayi pertamanya itu disahkan menghidap sakit jantung.

"Kami mohon daripada orang ramai supaya memberi sumbangan untuk membiayai kos pembedahan berkenaan, memandangkan gaji suami hanya RM700 sebulan yang bekerja sebagai Kerani," katanya.

Sementara itu, William Eeo, 8, disahkan menghidap saluran jantung sempit ketika usianya 28 hari.

Ibunya, Loke Li Fen, 33, berkata pembedahan ketiga ini bagi menggantikan injap jantungnya selepas dia mengadu sakit dada.

"Dia ada mengadu sakit dada dan apabila diperiksa dia terpaksa melakukan pembedahan, dia tetap kelihatan aktif seperti kanak-kanak lain, namun ada masanya dia akan mengalami sakit dada dengan tiba-tiba.

"Keadaan itu memberi kerisauan kepada saya memandangkan dia seorang sahaja anak lelaki daripada lima adik beradik,"katanya.

Katanya, berharap supaya orang ramai dapat menghulurkan sumbangan bagi menampung kos pembedahan RM 60,000.

"Saya seorang ibu tunggal dan hanya kerja dengan mengambil upah masak, kemas rumah, namun itu pun tidak mencukupi ditambah dengan perbelanjaan sekolah anak yang lain," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Media Prima NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek boleh dihantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 0327148977.

Berita Harian X