Khamis, 30 March 2017 | 7:23pm
Nur Imraini Abd Halid, Penyelia Petronas Setapak Indah.

KPDNKK nafi viral harga petrol, diesel rendah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini, menafikan viral mengenai petrol dan diesel dijual pada harga lebih rendah daripada kadar yang ditetapkan, oleh stesen tertentu di ibu kota.

Dalam kenyataannya, KPDNKK mengakui wujud aplikasi telefon pintar yang membolehkan pengguna mengemas kini harga jualan runcit petrol dan diesel oleh semua stesen minyak di seluruh negara.

"Paparan harga tidak tepat melalui aplikasi tersebut menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan pengguna.

"Semua stesen hanya dibenarkan menjual petrol dan diesel pada harga jualan runcit yang ditetapkan kerajaan seperti dimaklumkan menerusi laman sesawang KPDNKK," kata kenyataan itu.

KPDNKK tidak teragak-agak membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi Maklumat dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekiranya situasi menjadi di luar kawalan.

Aplikasi telefon pintar dikenali sebagai "My Petrol" membolehkan pengguna mengemaskini serta menyemak harga petrol dan diesel, selaras pelaksanaan apungan harga bahan api itu secara mingguan bermula tengah malam semalam.

Namun, ada pengguna aplikasi itu dipercayai mengemas kini harga yang lebih rendah iaitu RM2 seliter bagi petrol RON95; RM2.10 bagi RON97 dan RM1.94 bagi diesel dijual oleh stesen tertentu, mencetuskan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan orang ramai.

Harga sebenar bahan api yang diumumkan oleh KPDNKK berkuatkuasa selama seminggu mulai tengah malam kelmarin adalah RON95 RM2.13 seliter; RON97 RM2.41 dan diesel RM2.11.

Penyelia Stesen Petronas Setapak Indah, Nur Imraini Abd Halid, berkata pengguna tidak sepatutnya terus percaya dengan penularan khabar seumpama itu kerana pengumuman dibuat pada setiap minggu oleh kerajaan.

"Sebaiknya, orang ramai merujuk surat khabar atau pengumuman rasmi di televisyen  atau laman web kementerian terbabit untuk maklumat sahih," katanya ketika ditemui petang semalam.

Pengguna, Zainal Abidin Mohd Dom, menyifatkan langkah aplikasi membenarkan maklumat mengenai harga minyak dikemas kini secara bebas penggunanya adalah tidak wajar kerana menimbul kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Berita Harian X