Jumaat, 31 March 2017 | 6:46am

Janji PM bawa pulang rakyat Malaysia, ditunaikan

SEPANG: Janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membawa pulang semua rakyat Malaysia di Korea Utara dengan selamat, berjaya ditunaikan.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata kepulangan sembilan rakyat Malaysia itu membuktikan pendekatan diplomasi yang diamalkan kerajaan membuahkan hasil.

"Perdana Menteri sendiri mengikuti perkembangan rakyat Malaysia di sana (Korea Utara) secara dekat dan meletakkan kepercayaan beliau kepada Kementerian Luar untuk menguruskannya.

"Saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan akhirnya semua rakyat kita berjaya pulang dengan selamat," katanya pada sidang media di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, sebentar tadi.

Beliau bagaimanapun berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama pelbagai agensi seperti polis, Pejabat Perdana Menteri, pejabat Peguam Negara, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan.


ANIFAH (tiga dari kanan) menyambut ketibaan sembilan orang rakyat Malaysia yang tiba dari Pyongyang susulan krisis diplomatik antara dua negara, Malaysia dan Korea Utara di Kompleks Bunga Raya KLIA, Sepang. - Foto Aizuddin Saad

28 dibaca
Berita Harian X