Jumaat, 31 March 2017 | 7:54am
RAKYAT Malaysia yang tiba dari Pyongyang bertemu dengan ahli keluarga di Kompleks Bunga Raya KLIA, Sepang, pagi tadi. - Foto Aizuddin Saad
KAUNSELOR Kedutaan Malaysia di Korea Utara, Mohd Nor Azrin Md Zain memeluk ibunya, Norhayati Hamid ketika tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA, Sepang, pagi tadi. - Foto Aizuddin Saad

'Ibarat selamatkan keluarga sendiri'


MENTERI Luar, Datuk Seri Anifah Aman bersama sembilan rakyat Malaysia mengadakan sidang media di Kompleks Bunga Raya KLIA, Sepang, pagi tadi. - Foto Aizuddin Saad

SEPANG: "Tuhan saja yang tahu betapa leganya saya saat pesawat keluar dari ruang udara Korea Utara.

"Detik itu saja memadai untuk menandakan misi kita hampir selesai membawa pulang rakyat kita dengan selamat ke Malaysia."

Pegawai Memerintah Nombor Dua Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Kolonel Hasrizan Kamis, mengakui perasaannya bercampur-baur antara bimbang dan gembira saat menerima tugas membawa pulang sembilan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara.

Dipertanggungjawabkan sebagai juruterbang pesawat jenis Global Express Bombardier bagi membawa pulang sembilan rakyat Malaysia itu, beliau secara peribadi menganggapnya sebagai `misi menyelamat keluarga sendiri'.

"Rasa bercampur-baur antara berdebar, bimbang, gembira... tak tahu nak kata. Saya menerima tugasan itu Isnin lalu dan semua persediaan dilakukan anggota yang terbabit dalam misi ini.


PEGAWAI Memerintah Nombor Dua Skuadron TUDM, Leftenan Kolonel Hasrizan Kamis. - Foto Aizuddin Saad

"Lapan kru ditugaskan untuk misi ini termasuk juruterbang, pembantu juruterbang, quartermaster dan anggota pertahanan.

"Pesawat berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada jam 10.30 pagi semalam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang pada jam 5.30 petang waktu tempatan.

"Kami berlepas kembali ke Malaysia pada jam 7.45 malam," katanya ketika ditemui di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Beliau berkata, segala perancangan berjalan lancar dan tiada insiden tidak diingini berlaku.

"Kami jangkakan landasan akan dipenuhi anggota tentera negara itu tetapi jangkaan kami meleset. Hanya dua petugas lapangan terbang dan seorang tentera kelihatan ketika pesawat mendarat.

"Bagaimanapun, segala aspek dan prosedur keselamatan tetap kami utamakan dan ambil kira untuk mengelak kejadian tidak diingini, termasuk menyediakan dua anggota TUDM untuk pertahanan.

"Sepanjang kira-kira dua jam di lapangan terbang itu, kru tidak keluar dari pesawat dan kami tidak berpakaian tentera, sebaliknya seperti juruterbang syarikat penerbangan komersial.

"Syukur Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar," katanya.


PESAWAT khas yang membawa sembilan rakyat Malaysia dari Pyongyang, Korea Utara selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada jam 5.03 pagi. - Foto Twitter BERNAMA

59 dibaca
Berita Harian X