Jumaat, 31 March 2017 | 4:02pm

Fazura 'milik' Fattah dalam Hero Seorang Cinderella


FAZURA dan Fattah Amin.

KUALA LUMPUR: Spekulasi siapakah aktres yang layak untuk digandingkan dengan pelakon, Fattah Amin, dalam drama Hero Seorang Cinderella terjawab apabila pengarahnya, Michael Ang, mengesahkan watak terbabit menjadi milik Nur Fazura Sharifuddin.

Menurut Michael, Fazura dilihat sebagai pilihan yang tepat kerana pelakon itu mempunyai kriteria diperlukan untuk membawakan karakter utama dalam drama adaptasi novel itu, Nura Medina.

"Hari ini adalah hari pertama penggambaran dan setakat ini semuanya berjalan lancar. Saya percaya, Fazura pilihan yang tepat untuk membawakan watak Nura Medina kerana dia memiliki ciri-ciri yang diperlukan untuk karakter itu.

"Drama ini juga buat julung kali menyaksikan Fazura membawakan watak yang sangat berbeza dengan apa yang kita pernah lihat menerusi drama TV mahupun filem.

"Dari segi penampilannya juga berbeza. Selepas disolek dan mengenakan pakaian yang sesuai, dia kelihatan seperti gadis remaja. Selebihnya, penonton kena tengok sendiri nanti," katanya secara eksklusif kepada BH Online.

Menurut pengarah filem Kimchi Untuk Awak ini, drama berkenaan bakal menjalani penggambaran selama 70 hari dan besar kemungkinan, sebahagian babaknya akan turut dirakamkan di luar negara.

Selain pasangan terbabit, drama bersiri 24 episod ini juga dibintangi pelakon seperti Uqasha Seinrose, Datin Zizie Ezette dan Lisdawati.

Sebelum ini, Michael dikatakan buntu untuk mencari pelakon sesuai bagi menggantikan tempat Neelofa, yang menjadi pilihan pertama membawakan watak berkenaan.

Pelakon yang juga pengacara terkenal itu cuba digandingkan semula bersama Fattah selepas drama lakonan mereka, Suri Hati Mr Pilot, mendapat sambutan hangat penonton.

Lebih merumitkan keadaan apabila beberapa pelakon wanita yang ditawarkan watak berkenaan dikatakan agak keberatan menerimanya kerana bimbang reaksi peminat yang sudah serasi melihat gandingan Fattah dengan Neelofa.

Fazura, yang juga seorang daripada pelakon yang dipertimbangkan untuk watak terbabit, bagaimanapun menafikan pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian sambil memberitahu, sebagai pelakon profesional, beliau sentiasa terbuka dengan setiap tawaran dihulurkan.

Berita Harian X