Jumaat, 31 March 2017 | 4:17pm

JDT mampu imbangi kekuatan Pahang - Mora


JURULATIH Johor Darul Ta'zim (JDT) Benjamin Mora. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Pertembungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Pahang pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam esok bakal mencetuskan 'perang taktikal' membabitkan perancangan Benjamin Mora dan Dollah Salleh tatkala kedua-dua jurulatih itu mengidamkan kemenangan selesa.

Mora mengakui betapa pertembungan saingan Piala FA berbeza dengan aksi Liga Super dan tidak menolak ia perlawanan sengit dan sukar buat pasukannya berdepan skuad Tok Gajah yang mahu menebus kekalahan 2-3 pada aksi liga, baru-baru ini.

Apa pun Mora optimis barisan pemain yang akan diturunkan mampu mengimbangi kekuatan skuad kendalian Dollah yang sememangnya akan turun habis-habisan memburu kemenangan tatkala JDT juga inginkan bekalan selesa untuk di bawa pulang.

"JDT dan Pahang berada di kelompok tiga teratas saingan liga dan pertembungan kali ini pasti mendebarkan memandangkan bukan sahaja kami mahu memburu kemenangan malah Pahang juga tidak mahu mengalah.

"Sebagai jurulatih, saya menghormati bukan sahaja Pahang malah semua pasukan yang bersaing di Liga Malaysia (Liga M) dan boleh dikatakan kesemua pasukan mahukan kalahkan kami.

"Apa pun kami tetap meletak sasaran kemenangan dan perlu bijak menguruskan tempoh masa dalam perlawanan itu tatkala ia aksi timbal balik dan jika Pahang beraksi dengan agresif maka kami perlu lebih dari itu malah harus beraksi konsisten pada perlawanan itu nanti," katanya.

Mora juga tampak lega selepas tonggak utama iaitu S Kunanlan dan Mohd Afiq Fazail bebas daripada kecederaan dan bersedia untuk diturunkan pada aksi getir itu dan dijangka akan berada dalam kesebelasan utama selain kelibat Gabriel Guerra dan Gonzalo Cabrera yang akan menggalas tugas menggempur benteng skuad Tok Gajah.

Tambah beliau, kesungguhan setiap pemain JDT memainkan peranan bagi memburu kemenangan dan mereka perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah yang mungkin membolehkan pasukan lawan ambil kesempatan untuk menghukum kelekaan.

"Kami dibarisi skuad yang mantap selepas Ahmad Hazwan Bakri dan Mohd Fadhli Shas kembali dari latihan pasukan kebangsaan dan saya optimis kesebelasan utama yang akan diturunkan mampu beri keputusan positif," kata Mora.

225 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »