Jumaat, 31 March 2017 | 4:27pm

Nedim ingin bimbing Nora ke syurga


NORA menggayakan baju rekaan Wanpa di samping suami selepas majlis nikah. - Foto instagram Nora

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar ingin membahagiakan isterinya, Nora Danish, malah Nedim Nazri turut berjanji akan membimbing pelakon jelita itu ke syurga dengan keizinan Yang Maha Esa.

Luahan indah itu dicoret oleh Nedim, 34, yang juga anak Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, di laman sosial Instagramnya sebentar tadi.

Pasangan terbabit dinikahkan dalam sebuah majlis tertutup di Seputeh, di sini, malam tadi. Nedim sah bergelar suami Nora selepas dua kali lafaz.

"Hari ini menjadi permulaan kepada kehidupan baharu kita. Saya tidak pernah tersekat-sekat ketika berkata-kata, namun malam tadi saya berdepan dengan hal itu. Ia berlaku kerana saya bertemu mimpi (kamu) yang menjadi nyata. Saya tak mampu menahan air mata daripada terus jatuh. Ia air mata kegembiraan.

"Saya sentiasa berkata, Allah ialah sebaik-baik perancang dan terpulang kepada-Nya untuk membenarkan dua hati menjadi satu. Dengan izin-Nya, Yang Maha Esa lagi Maha Mengetahui, semua berlaku malam tadi. Dengan anugerah itu pada hari ini, kepada Nora Danish, isteriku, saya berjanji untuk menjadi suami yang bertanggungjawab seperti diimpikan dan mencintai kamu secara mutlak.

"Saya berjanji untuk membahagiakan kamu dan paling penting dengan restu Allah, insya-Allah saya akan membimbing kamu ke jannah," tulisnya di laman bergambar popular berkenaan.

Sebelum itu, Nora, 35, berkata beliau mengharapkan perkahwinan kedua ini akan berkekalan selama-lamanya.

Beliau bersyukur kerana saat yang dinanti-nantikan ini akhirnya menjadi kenyataan. Sekitar lapan tahun bergelar ibu tunggal kepada Putra Rayqal Ramli, 8, pelakon yang mula dikenali menerusi sitkom Puteri ini berharap semoga kebahagiaan yang baru dikecapinya kini berpanjangan hingga ke syurga.

"Penyatuan ini umpama mimpi menjadi nyata. Sudah lama saya tunggu detik ini untuk disatukan dengan belahan jiwa. Harapan saya, semua dapat doakan kebahagiaan kami," kata Nora.

Selesai majlis pernikahan, Nora turut memuatkan gambarnya bersama suami. Mengenakan busana rekaan Wanpa, kenyataan yang bertulis di atas baju itu jelas membuktikan beliau kini sedang mengecap bahagia.

Tulisan 'Keep calm. I can't. I'm the bride' di baju itu sangat unik dan menggambarkan dirinya kini sudah menjadi milik orang.

913 dibaca
Berita Harian X