Sabtu, 1 April 2017 | 12:02pm
PELAKON Ungku Hariz

Ungku Hariz tunggu watak besar

KUALA LUMPUR: Selepas sembilan tahun mengharungi industri hiburan, pelakon Ungku Hariz akur rezeki masih belum menyebelahinya untuk menerima watak yang mampu melonjakkan namanya.

Reda dengan keadaan itu, Ungku Hariz atau nama penuhnya, Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli, 32, tetap tidak berputus asa kerana yakin bakatnya akan mendapat perhatian umum suatu hari nanti.

"Setakat ini, banyak juga drama dan filem yang saya lakonkan. Cuma watak yang ditawarkan tidak besar, jadi penonton mungkin kurang sedar dengan kehadiran saya.

"Semua itu bukan alasan untuk saya mengambil lewa setiap watak yang diberikan. Biarpun hanya membawa watak kecil, saya akan pastikan memberi mutu lakonan yang terbaik," katanya kepada BH Online.

Ungku Hariz pernah membintangi filem seperti Polis Evo selain beraksi dalam drama popular antaranya Isteri Separuh Masa, 7 Hari Mencintaimu dan Urusan Hati Cik Drama Queen.

Terbaharu, Ungku Hariz tampil dalam filem komedi romantik arahan Michael Ang, Kimchi Untuk Awak, memegang watak Faris.

Kata suami kepada pelawak dan pengacara, Jihan Muse ini, walaupun sekadar memegang watak sampingan, beliau bersyukur kerana lakonannya meninggalkan impak kepada penonton ketika tayangan perdana filem itu, baru-baru ini.

Ungku Hariz juga berharap, Kimchi Untuk Awak akan sedikit sebanyak membantu menarik perhatian umum terhadap bakatnya.

"Saya mahu bakat dikenali umum. Meskipun bukan mudah, tetapi saya akan berbangga jika penonton melihat kemampuan sebenar saya menerusi filem ini.

"Sebelum ini, tidak ramai pengarah yang yakin dengan bakat saya. Peluang bekerjasama dengan pengarah tersohor seperti Ang diharap akan membuka peluang lebih besar selepas ini," katanya.

Berita Harian X