Sabtu, 1 April 2017 | 2:57pm

Eksploitasi dalam ajaran agama

PEKERJAAN bukan sekadar memenuhi keperluan hidup, tetapi turut berkait rapat dengan pengabdian diri kepada Allah SWT, kewajipan mencari rezeki yang halal dan memberi kebaikan kepada orang lain. Malangnya, hari ini sesetengah pihak mengeksploitasi ajaran agama untuk kepentingan politik dan melariskan perniagaan. Mereka mengemukakan hujah dan alasan yang memikat hati sebagai saluran media mengiklan barangan dan matlamat politik mereka.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: 'Pada akhir zaman akan muncul orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka memakai pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud) untuk mendapat simpati orang ramai. Tutur kata mereka lebih manis daripada gula, sedangkan hati mereka sama dengan hati serigala yang bertujuan jahat. (Riwayat Tirmizi).

Di antara eksploitasi yang dilakukan ialah seperti khidmat doa di kota suci Makkah dengan harga tertentu termasuk harga diskaun dengan pengusahanya menawarkan harga di antara RM250 dan RM5,000 bagi doa yang dibacakan di sekitar kawasan Masjidilharam; status haji mabrur yang dibicarakan seorang tokoh negarawan; pakej haji dan umrah yang menarik perhatian seperti harga murah yang luar biasa untuk penipuan.

Mempergunakan istilah wakaf seperti wakaf tanah, bangunan masjid, pusat tahfiz, kutipan derma dan lain-lain sumbangan untuk tujuan kebajikan tetapi sebaliknya meraih keuntungan; pelabelan produk makanan dan minuman sunnah, dan produk perniagaan yang kononnya dibacakan ayat al-Quran dan zikir.

KHIDMAT doa di kota suci Makkah yang mengeksploitasi ajaran agama dalam melariskan perniagaan.
KHIDMAT doa di kota suci Makkah yang mengeksploitasi ajaran agama dalam melariskan perniagaan.

Terdedah unsur penipuan

Perkara sebegini terdedah kepada unsur penipuan dan menimbulkan salah tanggapan orang ramai terhadap Islam kerana tidak berpandukan ilmu yang sahih. Umat Islam perlu berwaspada dan tidak terpedaya dengan situasi yang boleh menjatuhkan martabat Islam bahkan merosakkan akidah umat Islam itu sendiri seperti individu yang memperkenalkan valet doa.

Contohnya, menggunakan ibadah dan doa untuk perniagaan yang tidak dibenarkan oleh Islam; tokoh negarawan yang mempersoalkan status haji mabrur pula seolah-olah mahu menonjolkan personaliti dan kebolehan bercakap dalam semua bidang selain meraih keuntungan politik.

Produk perniagaan yang kononnya dibacakan ayat al-Quran, dengan harga tertentu produk itu didakwa mampu membantu menghilangkan kesakitan rohani dan jasmani termasuk membantu mencergaskan minda. Umat Islam yakin dengan kesempurnaan dan mukjizat yang terkandung di dalam al-Quran, tetapi mempersoalkan cara peniaga menggunakan al-Quran untuk menjual produk mereka menggunakan agama sewenang-wenangnya serta menjual produk pada harga lebih tinggi dengan hanya mendakwa produk mereka dibaca ayat al-Quran, zikir dan doa.

Contoh lain ialah memanipulasi istilah wakaf mengutip derma dengan berselindung di sebalik jualan amal; pembabitan kanak-kanak dalam kegiatan mengutip derma dan jualan amal, juga satu eksploitasi terhadap golongan berkenaan yang mungkin menempuh pelbagai risiko, masalah keluarga, himpitan kemiskinan, kesulitan hidup, diculik atau diperlakukan secara tidak baik. Keadaan ini bertambah buruk apabila mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan orang.

Bagi pakej umrah, secara umumnya kerajaan menggariskan harga minimum pakej umrah ditetapkan pada kadar RM4,900 oleh Majlis Kawal Selia Umrah yang diurus setia oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di bawah Akta Industri Pelancongan 1992. Justeru RM4,900 ini adalah penanda aras dan rujukan sebelum mengambil mana-mana pakej umrah daripada ejen perseorangan atau syarikat. Pakej dengan harga terlalu murah daripada harga siling boleh dianggap sebagai cubaan untuk menipu.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: 'Bergegaslah kalian untuk beramal (kerana akan datang) ujian ibarat potongan malam yang gelap. (Disebabkan ujian itu) di pagi hari seseorang dalam keadaan beriman dan petang harinya dalam keadaan kafir, di petang hari dalam keadaan beriman dan keesokan harinya dalam keadaan kafir. Dia menjual agamanya dengan sesuatu dari (gemerlapnya) dunia ini. (Riwayat Muslim).

Umat Islam perlu berhati-hati menguruskan kehidupan agar tidak menyimpang daripada landasan yang ditetapkan. Agama tidak seharusnya dijadikan saluran meraih kekayaan dan keuntungan politik. Masyarakat perlu menolak eksploitasi sebegini.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Sesungguhnya orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya" (Surah ali-Imran :77).

Ambil tindakan tegas

Islam bertitik tolak daripada komitmen tinggi umatnya. Khalifah al-Rasyidin Saidina Umar al-Khattab RA ada menegaskan bermaksud: "Kita adalah satu golongan yang dikurniakan kekuatan oleh Allah dengan Islam. Maka, sekiranya kita mencari kekuatan selain daripada kekuatan yang telah dikurniakan oleh Allah, nescaya kita akan dihina oleh Allah.

Dalam menangani eksploitasi ajaran agama, semua pihak perlu memainkan peranan proaktif dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak memperalatkan agama untuk mendapat kekayaan dan sokongan politik sebagai jalan mudah. Masyarakat perlu diajar supaya berhati-hati dengan eksploitasi sebegini.

Masyarakat juga perlu menyedari dan bimbang kemungkinan wujud unsur penipuan; mendatangkan fitnah kepada ajaran Islam; setiap umat Islam perlu berakhlak dalam semua urusan kehidupan; semua pihak perlu berhenti menggunakan Islam sebagai gimik menarik sokongan dan melariskan jualan, dan keuntungan bukanlah cara untuk mencapai kejayaan, sebaliknya perlu berusaha untuk mendapatkan keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Penulis ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Berita Harian X