Sabtu, 1 April 2017 | 5:03pm

Bengkel DFKL 2017 dapat sambutan

SEKITAR bengkel DFKL 2017.

KUALA LUMPUR: Sambutan positif terhadap bengkel Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017 yang berlangsung hari ini dan esok, mendorong penganjur menambah jumlah penyertaan kepada 750 peserta, berbanding 500 pada perancangan awal.

Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama Dan Rancangan TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Siti Nurlisia Mohd Nadzri, berkata ramai yang berminat menyertai DFKL biarpun pendaftaran secara talian sudah ditutup sejak minggu lalu.

"Atas permintaan memberangsangkan ini, kami menambah lagi 200 penyertaan. Tetapi, pagi ini iaitu ketika sesi pendaftaran bermula, kami menerima lebih 50 lagi peserta yang datang secara 'walk-in'.

"Walaupun sudah penuh, kami tidak mahu mengecewakan mereka kerana rata-ratanya datang dari luar ibu kota.

"Pendaftaran ditutup dengan 750 peserta, sekali gus mencatat sejarah penyertaan paling ramai untuk bengkel DFKL selama empat tahun ia dianjurkan," katanya.

Tahun ini, bengkel DFKL yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail 1 dan 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, menawarkan 16 sesi, merangkumi lakonan, pengarahan, imej dan penampilan diri, solekan kesan khas serta media sosial.

Bengkel dua hari itu dikendalikan 16 nama besar dalam industri seni seperti Fauziah Ahmad Daud, Sheila Rusly, Azman Yahya atau Jinggo, Khir Rahman, Ellie Suriati dan Sabri Yunus.

Selain menjadi platform yang paling sesuai bagi mereka yang ingin menyerlahkan bakat, bengkel DFKL juga berkongsi ilmu dan kejayaan yang pernah dikecapi menerusi drama popular TV3 serta TV9.

Acara itu dimeriahkan dengan kehadiran duta DFKL 2017 iaitu Raja Afiq DFKL dan barisan pelakon seperti Ruhainies, Mimi Lana, Hafreez Adam serta Sasqia Dahuri.

SEKITAR bengkel DFKL 2017.

Berita Harian X