Ahad, 2 April 2017 | 12:04am
PENJAGA gol PNKP, Ahmad Asyraaf (kanan) gagal menangkap kemas bola hasil sepakan pemain Kedah dalam saigan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam
PEMAIN import Kedah, Ken Ilso Larsen (kiri) cuba melepasi pertahanan PKNP, Mohammad Ezanie Mat Salleh pada saigan suku akhir Piala FA di Stadium Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

Piala FA: Kedah berpesta gol belasah PKNP

PEMAIN import Kedah, Ken Ilso Larsen (tengah) cuba melepasi dua benteng pertahanan PKNP dalam saigan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Kelab Liga Perdana, PKNP FC jelas bukan lawan Kedah, apabila mereka sengsara dibelasah 6-1 pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, malam ini.

Kemenangan itu juga sekali gus hampir memastikan skuad Helang Merah bimbingan Tan Cheng Hoe mara ke separuh akhir menjelang pertemuan kedua di Ipoh pada 22 April ini.

Mendapat sokongan padu 25,000 penyokong, Kedah memulakan misi mencari bekalan gol selesa dengan jaringan pertama menerusi sentuhan Fitri Omar yang melakukan tendangan bebas pada minit ke-14 yang gagal di tangkap kemas penjaga gol PKNP, Ahmad Ashraff Omar.

Pelawat kemudian membuat beberapa gerakan ke pintu gol tuan rumah melalui percubaan Ahmad Sukri dan Gilberro Valdenisio, namun penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal lebih bersedia menidakkan percubaan mereka.

Fitri menambah koleksi gol untuk Kedah dengan jaringan peribadi kedua pada minit ke-29 juga menerusi tendangan bebas yang mengelirukan Ahmad Ashraff.

Skuad Helang Merah menambah derita PKNP dengan gol ketiga hasil sepakan penalti Liridon Krasniqi pada minit ke-45, selepas Farhan Roslan dijatuhkan di kanan pintu gol pasukan pelawat.

Bersambung babak kedua, PKNP terus dihukum dengan gol keempat oleh penyerang import Kedah, Ken Ilso pada minit ke-47 selepas menerima hantaran silang Farhan.

Ketika skuad Helang Merah menguasai perlawanan, pengadil terpaksa menghentikan aksi pada minit ke-58 akibat satu daripada lampu limpah stadium gagal berfungsi, namun masalah itu di atasi selepas 10 minit.

Tuan rumah dikejutkan dengan rembatan kencang Khairul Asyraf Ramli pada minit ke-83 yang mengenai palang sebelum mencecah jaring.

Selang tiga minit, pemain gantian, Syafiq Ahmad menghadiahkan gol kelima Kedah sebelum Ilso menambah sengsara PKNP dengan gol keenam pada minit ke-90.

Berita Harian X