Ahad, 2 April 2017 | 11:24am

Piala FA: Dollah akui Pahang belum selesa


Jurulatih Pahang Dollah Salleh pada sesi latihan akhir sebelum pasukannya menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur. - Foto BERNAMA

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh, mengakui kemenangan 3-1 pada aksi suku akhir pertama Piala FA ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT), malam tadi belum menjamin tempat ke separuh akhir piala berprestij itu.

Ini kerana skuad Harimau Selatan mempunyai bekalan satu gol di Stadium Darul Makmur dan ia memberikan kelebihan kepada pasukan itu menjelang aksi suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

"Tidak ada istilah menang selesa walaupun kita menang. Jika pemain kami tidak beraksi dengan baik, kita percaya mereka (JDT) boleh mencipta kejutan apabila beraksi di sana nanti.

"Mereka ada bekalan yang penting iaitu gol di tempat lawan. Kita ada 90 minit lagi dan saya akan cuba pastikan semua pemain dapat memberikan fokus sepanjang latihan menjelang aksi suku akhir kedua itu," katanya selepas perlawanan malam tadi.

Pahang menang hasil jaringan Ahmad Syamim Yahya (minit ke-13), Matheus Alves (m-46) dan Bright Dike (m-66), manakala gol tunggal JDT dijaringkan oleh Marcos Antonio (m-21).

Mengulas peluang dimiliki Pahang untuk ke peringkat seterusnya, Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, masih banyak ruang perlu diperbaiki pemainnya.

"Secara keseluruhannya, mereka sudah mempamerkan aksi yang baik, namun, masih ada banyak lagi yang kita kena buat sebelum bertandang ke sana.

"Saya tidak menafikan faktor sokongan padu penyokong Tok Gajah banyak membantu meningkatkan semangat pemain.

"Untuk aksi suku akhir kedua, saya harap pemain bersedia dari aspek mental dan fizikal kerana kita bukan saja berdepan dengan skuad Harimau Selatan, tapi bakal berdepan penyokong setia di gelanggang mereka," katanya.

Berita Harian X