Ahad, 2 April 2017 | 1:40pm

Tanjung Emas Waterfront lonjak pelancongan Muar

TUNKU Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim berkenan hadir pada majlis perasmian Tanjung Emas Waterfront di Muar, hari ini. - Foto Adi Safri

MUAR: Tanjung Emas Waterfront bernilai RM18.1 juta yang siap dibina pada Disember lalu, mampu melonjakkan lagi sektor pelancongan di daerah ini pada masa akan datang.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri, berkata kerajaan sentiasa meletakkan keutamaan bagi membangunkan kawasan luar bandar yang juga menjadi sebahagian daripada tulang belakang pembangunan negara.

"Sebelum ini, projek pengindahan sungai Muar dilakukan selepas sebahagian besar daripada struktur perlindungan tebing sungai runtuh dan kritikal, berikutan kejadian air pasang surut dan juga banjir.

"Selain itu, struktur tebing sungai ini juga sudah usang dan rosak sehingga ia terpaksa ditutup bagi tujuan keselamatan pengunjung," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Tanjung Emas Waterfront di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Yang turut hHadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Muar.

Hamim berkata, Tanjung Emas Waterfront juga diharapkan akan memberi manfaat besar kepada penduduk di daerah Muar termasuk menjadi ikon pelancongan terbaharu di kawasan yang kaya dengan sumber warisan dan alam semula jadi.

"Kita berharap dengan adanya prasarana ini ia dapat merangsang sektor pelancongan dan perniagaan di kawasan ini kelak berikutan keadaan air sungai yang bersih dan menarik akan dapat menjadi tarikan orang ramai untuk berkunjung ke Muar.

"Inisiatif ini juga akan dapat membolehkan penduduk terutama yang tinggal di tebing sungai terus mencari rezeki dengan menangkap ikan dan udang di sungai ini, " katanya.

Berita Harian X