Ahad, 2 April 2017 | 7:26pm

Notis Interpol masih tahap merah - TPM

KOTA MARUDU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata notis permintaan Malaysia bagi penahanan empat suspek yang dikaitkan dengan pembunuhan Kim Jong-nam, kepada Interpol masih pada tahap merah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan Malaysia menyerahkan kepada kebijaksanaan Interpol untuk menilai dan menguruskan isu berkenaan.

"Saya berpendapat, presiden Interpol yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri China, Meng Hongwei akan mengarahkan Pengarah Eksekutif Interpol, Jargon Stock, menangani isu itu berasaskan prosedur operasi standard (SOP) dan bantuan undang-undang bersama (MAL).

Ahmad Zahid berkata demikian selepas majlis Perasmian Serentak Persidangan Cawangan-Cawangan UMNO Bersama Wanita, Pemuda dan Puteri Kota Marudu di sini, hari ini.


DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima borang kemasukan baru UMNO daripada Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu, Datuk Wetrom @ Mohd Fikri Bahanda (kanan) selepas merasmikan Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian di Dewan Komuniti Kota Marudu hari ini. - Foto BERNAMA

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Pemangku presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Pada 16 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis Malaysia menerima 'Interpol Red Notice' daripada Interpol bagi penahanan empat suspek kes pembunuhan Kim Jong-nam. - BERNAMA

75 dibaca
Berita Harian X