Ahad, 2 April 2017 | 11:20pm

Tiga suspek kes serang polis ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga suspek berhubung insiden tiga anggota polis diserang sekumpulan lelaki ketika menjalankan siasatan berhubung kegiatan kongsi gelap di Jalan Telawi, Bangsar di sini, awal pagi Sabtu.

Ketiga-tiga mereka ditahan di sekitar ibu negara menerusi Ops Cantas Khas oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Polis Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, pada hari sama.

Sumber memberitahu, suspek pertama berusia 24 tahun ditahan di hadapan Stesen Monorel Jalan Hang Tuah di sini, kira-kira jam 6 petang, semalam.

"Soal siasat ke atasnya membawa kepada penangkapan dua lagi rakannya, masing-masing berusia 22 dan 23 tahun. Kedua-duanya ditahan di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Genting Klang, di sini, kira-kira jam 7.20 malam," kata sumber.

Difahamkan, pihak polis kini sedang memburu beberapa lagi suspek yang masih bebas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, mengesahkan penahanan semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

Dalam kejadian itu jam 4.30 pagi, tiga anggota polis berpangkat koperal dan sarjan dikatakan sedang menjalankan risikan aktiviti kongsi gelap di lokasi terbabit.

Ketika berjalan balik ke kenderaan berhampiran sebuah pusat hiburan di situ, tiga anggota polis itu dihampiri sekumpulan antara lapan hingga 10 lelaki bersenjatakan batang kayu dan botol kaca yang kemudian menyerang mereka.

Akibatnya, seorang anggota berpangkat Sarjan parah di kepala dan terpaksa menerima 30 jahitan.

Berita Harian X