Isnin, 3 April 2017 | 4:37pm

PETRONAS sasar jadi penggiat utama minyak pelincir

MUMBAI: PETRONAS menyasar menjadi antara lima penggiat utama dunia dalam segmen minyak pelincir dengan memanfaatkan permintaan terhadap produk itu dalam pasaran.

Petronas Lubricants International Sdn Bhd (PLI) adalah cabang pembuatan dan pemasaran minyak pelincir global PETRONAS.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Giuseppe D'Arrigo berkata, PLI berada di kedudukan ke-15 dunia bagi minyak pelincir dua tahun lalu, dan kini sebagai penggiat ke-10 terbesar segmen berkenaan.

Mengikut data terkini, pasaran minyak pelincir dunia diunjur bernilai kira-kira AS$166 bilion (RM733.7 bilion) menjelang 2021, dipacu peningkatan jualan kenderaan komersial, selain perindustrian yang cepat maju di negara-negara pesat membangun.

"Aspirasi PLI adalah menjadi antara lima penggiat utama dunia dan pada masa sama memiliki pembeza utama teknologi, serta melabur secara besar-besaran dalam menghasilkan kejayaan produk untuk pasaran.

"Kami memiliki asas yang tepat untuk mencapai sasaran ini, melalui pemilikan dan pengoperasian 10 kemudahan pencampuran di seluruh dunia, dengan kapasiti pengeluaran gabungan melebihi 600,000 tan setahun," katanya kepada pemberita selepas pelancaran 'Petronas Sprinta dengan Ultraflex' di sini, baru-baru ini.

D'Arrigo berkata, teknologi menjadi faktor kejayaan syarikat dan teras PLI sejak ditubuhkan pada 2008.

Beliau berkata, PLI mewariskan legasi pengalaman luas teknologi minyak pelincir untuk beberapa peneraju kejuruteraan terkemuka dunia.

"Dengan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran kejuruteraan itu, kami boleh menumpu kepada usaha memperhalusi kelebihan teknologi kami dan hari ini kami mempunyai pusat penyelidikan dan teknologi di seluruh dunia," katanya.

Kemudahan pencampuran PLI terletak di Contagem (Brazil), Buenos Aires (Argentina), Turin dan Naples (Itali), Barcelona (Sepanyol), Hemiksem (Belgium), Shandong (China), Melaka (Malaysia) dan dua lagi di Durban (Afrika Selatan).

"Tahun lalu, kami mewujudkan kilang pencampuran minyak pelincir bernilai AS$50 juta di Patalganga, berhampiran Mumbai, yang dijangka memulakan operasi menjelang suku pertama 2018.

"Sebaik beroperasi, kami merancang untuk menempatkan pusat penyelidikan dan teknologi satelit di kilang berkenaan yang akan menumpu kepada minyak pelincir motosikal.

"Perbelanjaan modal AS$150 juta diperuntukkan untuk kilang di India bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

"Pada 2016, kami turut memulakan usaha fasa kedua menaik taraf kilang di Shandong. Apabila beroperasi sepenuhnya pada suku kedua tahun ini, ia akan mempunyai kapasiti pengeluaran 150,000 tan setahun," kata D'Arrigo.

Sementara itu, di Amerika Selatan, PLI menjalankan kerja pecah tanah untuk kilang pengeluaran di Kawasan Perindustrian Ezeiza, Buenos Aires, Argentina.

Kilang baharu itu akan menyediakan sokongan utama kepada strategi perluasan perniagaan PLI di rantau itu, khususnya bagi kluster pasaran selatan, yang turut merangkumi Chile dan Uruguay.

"Saya yakin, perluasan kami dalam segmen minyak pelincir motosikal (MCO) akan membantu memacu kemajuan kami dalam usaha menjadi syarikat minyak pelincir dunia," katanya.

Beliau berkata, sokongan utama terhadap komitmen PLI untuk berada dalam peringkat paling maju ialah pusat penyelidikan global bernilai 40 juta pound di Turin, Itali, yang akan siap akhir tahun ini.

Sebaik beroperasi, pusat penyelidikan dan pembangunan minyak pelincir itu akan menyediakan keperluan teknologi dan teknikal untuk perniagaan PLI di seluruh dunia.

D'Arrigo berkata, kebanyakan inovasi untuk kenderaan dua tayar akan diterajui oleh kemudahan di India, memandangkan PLI mempunyai pelan pengaktifan untuk mendapatkan peluang pasaran di negara itu.

"Jika melihat kepada pasaran motosikal, 75 peratus permintaan MCO adalah di Asia. Jika digabungkan Asia dengan Amerika Latin, ia adalah lebih 90 peratus daripada keseluruhan permintaan, sekali gus menepati strategi perluasan syarikat," katanya.

Beliau berkata, India dan China adalah pasaran penting MCO.

"Bagaimanapun di China, kami berdepan cabaran memandangkan motosikal di sana mengalami fasa elektrifikasi, selain larangan kenderaan dua tayar memasuki bandar.

"Sementara itu, pasaran India, sebagai kedua terbesar, menawarkan peluang lebih baik untuk penggiat minyak pelincir, terutama MCO," katanya.

D'Arrigo berkata, jualan motosikal baharu di India pada 2015/2016 adalah 16 juta unit, berbanding 11.8 juta pada 2010/2011, dan menjadi petunjuk kepada pertumbuhan pesat di negara itu.

"Pasaran India dijangka mencatat 18 juta unit motosikal baharu pada 2018/2019, memandangkan pertumbuhan kenderaan dua tayar di sana adalah luar biasa, susulan kesesakan di bandar besar dan kawasan letak kenderaan yang mahal, seiring dengan pembandaran kawasan luar bandar di India," katanya.

PLI mengadakan pelancaran global 'Petronas Sprinta dengan Ultraflex' di Mumbai.

Minyak pelincir itu akan ditawarkan di peringkat global secara berperingkat mulai suku kedua 2017 di Malaysia dan Vietnam, suku keempat 2017 di Thailand serta tahun depan di Indonesia.

Bagi pasaran Malaysia, PLI menawarkan empat varian minyak pelincir 'Petronas Sprinta dengan Ultraflex' iaitu F300 (mineral) untuk pasaran besar-besaran, F500 (semi-sintetik), F700 (semi-sintetik) selain minyak utamanya, F900 (sintetik penuh).

Berdasarkan penyelidikan, 'Petronas Sprinta dengan Ultraflex' adalah 41 peratus lebih baik memandangkan ia memberikan geseran lebih tinggi untuk mengelak penipisan minyak, di samping menghalang kelikatan minyak apabila terdedah kepada suhu yang tinggi, selain mengurangkan pengumpulan deposit sebanyak 55 peratus. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X