Isnin, 3 April 2017 | 4:59pm

Awie ingin wujud muzium hargai penggiat seni

Awie. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

KUALA LUMPUR: Vokalis Wings, Datuk Awie, berhasrat untuk membina muzium khas bagi menghargai dan memartabat penggiat seni tanah air.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, berkata idea untuk menubuhkan muzium seni terbabit tercetus apabila beliau mendapati tiada maklumat atau kenangan mengenai penggiat bidang berkenaan yang sudah meninggal dunia.

"Perancangan untuk mewujudkan muzium khas ini adalah bagi memberi informasi mengenai penggiat seni tempatan. Ramai seniman dan seniwati negara yang sudah meninggal dunia, namun tiada penghargaan buat mereka.

"Muzium seni ini bukan saja menjadi tanda penghargaan, malah untuk memartabatkan lagi artis tempatan. Pusat informasi itu nanti turut berperanan sebagai tempat rujukan bagi mendalami dunia seni.

"Kalau dilihat di negara luar, muzium atau tempat khas untuk menghargai selebriti mereka banyak disediakan. Justeru, Malaysia seharusnya tampil dengan idea sama sebagai rujukan untuk masa hadapan," katanya BH Online.

Awie berkata, biarpun muzium itu nanti tidak dapat menyediakan maklumat sepenuhnya mengenai penggiat seni negara, usaha bagi mengangkat golongan terbabit sudah mencukupi buatnya.

Sementara itu, Awie berharap Konsert Wings & Superfriends - Belenggu Irama yang akan berlangsung 6 hingga 9 April ini, mendapat sokongan semua pihak.

"Alhamdulillah, apa yang boleh saya katakan ketika ini, kami memerlukan sokongan daripada penggemar muzik untuk sama-sama datang memeriahkan persembahan.

"Selain berhibur, peminat juga boleh memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan," kata Awie yang giat menjalani latihan bersama kumpulannya, selain artis undangan menjelang konsert terbabit.

Konsert yang akan diadakan di Istana Budaya itu bakal dilangsungkan selama dua jam, bermula 9 malam.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X