Isnin, 3 April 2017 | 6:55pm

Cheng Hoe masih terikat kontrak dengan KFA

KETUA Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe. - Foto Owee Ah Chun

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memutuskan Tan Cheng Hoe kekal sebagai jurulatih skuad Helang Merah kerana masih terikat dengan kontrak perkhidmatan.

Keputusan itu diumumkan Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebentar tadi, selepas bermesyuarat hampir dua jam bagi membincangkan surat peletakan jawatan Cheng Hoe yang diserahkan Sabtu lalu.

Ahmad Bashah berkata, Cheng Hoe perlu mengemukakan surat tawaran rasmi dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai perlantikan beliau sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan.

Katanya, KFA tidak boleh membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan Cheng Hoe selagi tiada tawaran rasmi dan pengesahan dari pihak FAM.

"Secara status quo, Cheng Hoe kekal sebagai ketua jurulatih pasukan Kedah kerana beliau masih terikat dengan kontrak perkhidmatan bersama KFA.

"Bagaimanapun, KFA akan membuat keputusan selanjutnya selepas meneliti perkara berkaitan peletakan jawatan Cheng Hoe dan menerima pengesahan atau kenyataan rasmi dari FAM," katanya di sini, sebentar tadi.

Ahmad Bashah berkata, pihaknya memandang serius dengan artikel di media massa yang boleh memberi imej buruk kepada KFA.

"Pihak media perlu lebih berhati-hati dalam menyampaikan maklumat dan mendapatkan pengesahan terlebih dahulu dari pihak KFA," katanya.

Berita Harian X