Selasa, 4 April 2017 | 1:56am

Trump, El Sisi bincang kerjasama perangi Daesh


KUNJUNGAN Presiden Mesir, Presiden Abdel-Fattah el-Sissi ke atas rakan sejawatnya, Presiden Donald Trump antara lain turut membincangkan kerjasama memerangi militan Islam. - Foto AFP

WASHINGTON: Kunjungan Presiden Mesir, Presiden Abdel-Fattah el-Sissi ke atas rakan sejawatnya, Presiden Donald Trump antara lain turut membincangkan kerjasama memerangi militan Islam dan mengukuhkan semula kedudukan ekonomi Mesir.

Dalam perjumpaan di Rumah Putih hari ini, Trump yang sangat mengalu-alukan kehadiran el-Sissi berkata, rakannya itu menunjukkan pencapaian yang cemerlang dan mengisytiharkan sokongannya terhadap Mesir dan rakyat negara itu.

Beliau turut memaklumkan mengenai perancangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengukuhkan keupayaan pasukan tentera ke tahap tertinggi bagi memerangi militan Daesh dan memberi sokongan kepada rakan sekutu mereka.

El-Sissi pada pertemuan itu melahirkan kekagumannya terhadap personaliti unik Trump dan berikrar untuk bekerjasama dengan AS bagi menyingkirkan ideologi jahat yang memusnahkan masyarakat.

Trump berulang kali menyifatkan Mesir sebagai rakan sekutu Islam yang penting dalam memerangi militan Daesh.

Sambutan Rumah Putih itu adalah yang terbaru selepas hubungan tegang antara Mesir dan pentadbiran AS sebelum ini.

Bekas presiden Barack Obama tidak pernah mengundang el-Sissi ke Rumah Putih, malah turut menggantung beberapa bantuan ketenteraan ke sana. - AP

55 dibaca
Berita Harian X