Selasa, 4 April 2017 | 9:56am

91 premis diperiksa dalam Ops Bersepadu NBOS

 

MELAKA: Sebanyak 91 premis di Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) diperiksa dalam Ops Bersepadu Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menangani kos sara hidup, bermula jam 3.30 hingga 5.30 pagi tadi.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Mohd Nawi Othman, berkata Operasi Bersepadu Mematuhi Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL) serta Menangani Kos Sara Hidup (COL) itu mengesan 45 kesalahan serta menahan empat warga asing.

"Dalam operasi ini, Jabatan Imigresen menahan tiga warga Bangladesh dan seorang Indonesia berusia antara 25 hingga 40 tahun kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan dan semua mereka disiasat mengikut Seksyen 2(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

PENGUATKUASA FAMA memeriksa barangan yang dijual di Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ). - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Seramai 53 anggota, termasuk polis, Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), MPHTJ, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri menyertai operasi selama dua jam itu.

Mohd Nawi berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan KPDNKK mengesan satu kes mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972, manakala SSM pula mengesan 25 kes membabitkan pelbagai kesalahan.

"Ops ini dijalankan bertujuan membantu menangani kos sara hidup yang semakin meningkat, termasuk membabitkan peletakkan harga dan pelabelan yang bukan saja mengelirukan pengguna, malah membawa kepada penipuan harga.

"Pemeriksaan mengejut dijalankan juga bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan penggredan, pembungkusan dan pelabelan selain meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pemasaran keluaran pertanian," katanya.

 

ANGGOTA KPDNKK membuat pemeriksaan barangan di Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dalam Ops Bersepadu Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menangani kos sara hidup, awal pagi tadi. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber **267786

ANTARA barangan yang diperiksa dalam Ops Bersepadu Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ). - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Berita Harian X