Selasa, 4 April 2017 | 4:21pm

BIMB Invest umum agihan pendapatan dana BIMB-Arabesque

KUALA LUMPUR: BIMB Investment Management Bhd (BIMB Invest) mengumumkan 7.1 peratus (kategori ringgit) dan 6.9 peratus (kategori dolar Amerika Syarikat) hasil untuk agihan pendapatan bagi dana ekuiti Shariah-ESG pelbagai mata wang dunia, BIMB-Arabesque i Global Dividend Fund 1.


Najmuddin Mohd Lutfi. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Invest, Najmuddin Mohd Lutfi, berkata pengagihan itu melebihi sasaran penanda arasnya iaitu sebanyak enam peratus.

"Dana itu mengimbangi semula portfolionya mengikut harian antara ekuiti dan tunai bagi pulangan mampan atas pelaburan terlaras dengan risiko.

"Pendekatan pelaburan sistematik dan kuantitatif berasaskan peraturan juga mengambil kira kedudukan akaun, data sosial dan tadbir urus untuk melabur dalam syarikat-syarikat yang mempunyai kewangan kukuh pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najmuddin berkata, BIMB-Arabesque i Global Dividend Fund 1 menggunakan kepintaran buatan dan teknologi data raya dalam proses pelaburannya untuk mengetepikan kecenderungan dan intuisi manusia.

Beliau berkata, teknologi itu membolehkan syarikat mewujudkan gabungan saham terbaik daripada keseluruhan 77,000 syarikat senaraian global untuk membentuk portfolio sehingga 100 saham setiap hari melalui penggunaan lebih 1,600 kriteria pilihan yang menilai lebih 100 bilion titik data.

Dana tersebut boleh dilanggan di mana-mana 145 cawangan Bank Islam Malaysia Bhd di seluruh negara, perunding BIMB Invest, KenWealth oleh Kenanga dan Phillip Mutual.

BIMB Invest adalah unit milik penuh Bank Islam. - BERNAMA

118 dibaca
Berita Harian X