Selasa, 4 April 2017 | 4:41pm

Wujud Instagram anak elak penipuan - Stacy


GAMBAR Bella dan adiknya, Eshaal, yang dikongsi di laman Instagram mereka.

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Stacy, 26, menjelaskan beliau mewujudkan laman Instagram dua anaknya dengan nama @beyshal bagi mengelakkan penularan akaun palsu yang semakin berleluasa.

Stacy atau nama penuhnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, berkata beliau tidak mahu ada pihak tertipu dengan beberapa akaun palsu yang mengaut keuntungan menggunakan nama anak-anaknya.

"Hasil perbincangan bersama Akim, saya mewujudkan akaun 'beyshal' yang menggabungkan aktiviti harian Bella dan Eshaal. Penularan akaun palsu membuatkan kami terpanggil untuk membuka akaun untuk anak kami.

"Kami tidak mahu ada peminat atau orang ramai di luar sana yang tertipu dengan akaun palsu menggunakan nama anak kami. Jadi, tidak salah rasanya untuk menghasilkan akaun rasmi yang disahkan oleh kami sendiri.

"Sebagai ibu bapa, semestinya kami memantau akaun Instagram itu supaya tidak membahayakan keselamatan dua anak kami. Malah, saya sendiri mengikut pesan orang tua untuk berkongsi gambar Eshaal setelah dia berusia 44 hari," katanya kepada BH Online.

Sehingga kini, akaun anaknya itu diikuti oleh lebih 26,000 orang.

Pasangan selebriti terbabit buat julung kali berkongsi wajah anak kecil mereka, Eshaal Afiq Akim, di laman Instagram, Ahad lalu. Mereka turut mempunyai anak perempuan bernama Bella De Luna yang kini berusia lima tahun.

Penyanyui lagu Romeo itu baru saja selesai tempoh berpantang 44 hari, namun tidak keberatan untuk meneruskan rutin itu selagi belum terikat dengan sebarang kerja.

"Alhamdulillah, proses berpantang berjalan dengan lancar. Saya dijaga oleh ibu mentua dan ibu saya sendiri. Sekiranya tiada tuntutan kerja, saya tidak keberatan untuk meneruskan proses berpantang kerana ia bagus untuk tubuh badan wanita.

"Saya sendiri belum mendapat berat badan ideal lagi dan berhasrat untuk berbuat demikian secepat mungkin. Kalau diikutkan, saya sebenarnya belum pun dapat memakai cincin kahwin lagi," kata Stacy.

Stacy dan Akim mendirikan rumah tangga pada 5 Februari tahun lalu di Kota Kinabalu, Sabah.

168 dibaca
Berita Harian X