Selasa, 4 April 2017 | 6:35pm

Akta lulus selepas 13 jam dibahas

KUALA LUMPUR: Selepas 13 jam dibahaskan sejak semalam, Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

RUU itu yang antara lain menganggap kanak-kanak sebagai saksi kompeten bagi kes jenayah seksual, dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said mengumumkan, RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga dan dipersetujui sebulat suara.

RUU itu antaranya bertujuan melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual dicadang terpakai kepada kanak-kanak bawah umur 18 tahun, selaras Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu RUU itu mengambil masa dua hari dibahaskan termasuk ketika dibawa ke peringkat jawatankuasa apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan aspek teknikal yang tidak jelas seperti definisi umur, lokasi kejadian jenayah seksual, perkataan 'mangsa' dan definisi pornografi kanak-kanak.

Berita Harian X