Rabu, 5 April 2017 | 10:12am

India minat beli pesawat MiG-29 Malaysia

Jet pejuang MiG-29 Malaysia. - Foto BERNAMA

NEW DELHI: India menyatakan minat membeli jet pejuang MiG-29 daripada Malaysia dengan menaik taraf pesawat itu untuk kegunaan tentera udara negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata cadangan itu adalah antara aspek kerjasama ketenteraan yang dipersetujui antara Malaysia dan India.

Dalam hal ini, Kementerian Pertahanan dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melihat bentuk kerjasama, termasuk pengendalian pesawat tempur Sukhoi dan peralatan ganti pesawat berkenaan, katanya.

"Ada juga kemungkinan mereka akan beli pesawat MiG-29 kita, untuk mereka pasang pulih. Sebagai timbal balas, kita menerima peralatan ganti untuk program pesawat Sukhoi kita, " katanya pada sidang media di akhir lawatan enam hari beliau ke India yang bermula 30 Mac di Chennai.

Menurut majalah penerbangan ketenteraan, 'AirForces Monthly', TUDM pada 1995 memperoleh 18 jet pejuang MiG-29N dari Russia dan pada ketika ini ada 10 MiG-29N dan dua pesawat latihan MiG-29NU dalam asetnya.

Najib berkata, lawatan ke India kali ini adalah satu kejayaan dalam bidang pelaburan antara kedua-dua negara, apabila 31 memorandum persefahaman (B-to-B) dimeterai dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$35.99 bilion (RM159.26 bilion).

Kerjasama yang dimeterai meliputi pembinaan pelabuhan, jalan raya, pembangunan tenaga solar, pembangunan bandar pintar, taman teknologi, pembangunan minyak sawit dan kelapa serta pendidikan tinggi.

Selain itu, katanya, Syarikat Topworth Group dan Samarth Group dari India menyerahkan Surat Hasrat Melabur (LOI) untuk pelaburan berjumlah AS$380 juta (RM1.6 bilion) di Malaysia.

Syarikat Samarth, adalah pengeluar pelbagai produk perubatan kritikal bercadang melabur AS$80 juta (RM352 juta) di Iskandar Malaysia, Johor, manakala Topworth pula adalah pengeluar aluminium foil untuk pembungkusan ubat dengan pelaburan berjumlah AS$300 juta (RM1.32 bilion) di Bintulu, Sarawak.

Najib berkata, Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan enam pakej pembinaan jalan raya sepanjang 3,000km di Rajashtan dengan anggaran pelaburan AS$1.5 bilion (RM6.5 bilion).

"Lawatan saya ke Jaipur menjelaskan kesungguhan Malaysia dalam projek pembinaan jalan raya di Rajashtan di mana model yang akan dilaksanakan oleh Malaysia bakal menjadi contoh kepada negeri-negeri bersebelahan Rajashtan," katanya.

BERNAMA

Berita Harian X