Rabu, 5 April 2017 | 1:36pm

MRT Fasa 2 Semantan-Kajang siap 97 peratus

TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz. - Foto Amran Hamid

KUALA LUMPUR: Projek Transit Aliran Massa (MRT) Fasa Kedua dari stesen Semantan ke Kajang kini sudah 97 peratus siap dan berjalan mengikut jadual.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, berkata pada ketika ini kerja-kerja akhir sedang dilaksanakan termasuk pembinaan, reka bentuk dalaman, struktur pintu masuk, laluan pejalan kaki, landskap dan pemasangan peralatan sistem elektrikal dan mekanikal.

Katanya, kerja pemeriksaan dan pentauliahan sistem akan dimulakan tidak lama lagi dan semua aktiviti itu berjalan mengikut jadual.

"Tahap kemajuan keseluruhan projek MRT (Fasa Dua) adalah 97 peratus. Seperti diumumkan, kos pembinaan keseluruhan projek MRT ini dianggarkan RM21 bilion dan kos ini tidak melebihi daripada kos disasarkan sebelum ini," katanya menjawab soalan Dr Ismail Daut (BN-Merbok) di Dewan Rakyat hari ini.

Berita Harian X