Rabu, 5 April 2017 | 4:02pm

3 anak sudah memadai - Che Ta

ROZITA bersama tiga anaknya.

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan, mengaku gembira dengan tiga anak yang dianugerahkan kepadanya ketika ini.

Wanita jelita berusia 44 tahun yang bergelar usahawan itu turut berkata, berkemungkinan besar beliau takkan mencuba untuk hamil lagi bagi menambah jumlah ahli keluarga.

Dalam soal mendapatkan cahaya mata, Rozita yang lebih mesra disapa Che Ta mengaku beliau bersikap realistik.

"Rasanya tidak (untuk hamil lagi). Saya rasa, lagi ramai anak, semakin bertambah tanggungjawab. Sekarang, semuanya memerlukan duit. Jadi, kalau bertambah anak, ia bererti tanggungjawab menjadi semakin besar selain menuntut perhatian sepenuhnya.

"Bagi saya, mempunyai tiga anak sudah dikira sangat baik. Aaisyah (Dhia Rana) pun sudah ada dua abang. Niat saya untuk mempunyai anak perempuan juga dimakbulkan Tuhan dengan kelahiran Aaisyah," kata Rozita ketika ditemui pada majlis pelancaran program realiti Little Princess Aaisyah di sini.

Rozita berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan sesetengah peminat yang ingin melihat beliau mendapatkan cahaya mata seterusnya selepas kelahiran puteri kesayangannya itu.

Malah, suaminya, Zain Saidin, sebelum ini bagai memberikan bayangan ingin mempunyai anak lagi bersama isterinya itu.

Selain Aaisyah, Rozita juga mempunyai dua anak lelaki remaja, Ammar Effendy dan Aniq Ezra, hasil perkahwinan pertamanya.

Rozita berkata, kesibukan dengan kerjaya, sama ada di dunia bisnes mahupun seni, membuatkan beliau harus membahagikan waktu dengan sebaik mungkin agar tumpuan pada keluarga juga tidak terganggu.

"Kalau saya seorang suri rumah tangga sepenuh masa, yang memiliki banyak waktu untuk menjaga anak di rumah, rasanya tiada masalah untuk saya beranak setiap tahun. Enam bulan sekali nak beranak pun tak mengapa.

"Hakikatnya, saya bukan saja seorang ibu dan isteri, tetapi juga wanita berkerjaya. Jadual kerja saya terlalu padat. Saya tidak boleh mengambil mudah dalam soal anak-anak, apatah lagi mereka semakin membesar.

"Saya mencari rezeki untuk membesarkan dan memberikan kesenangan kepada mereka. Saya kena pastikan perniagaan dan rumah tangga diuruskan sebaik mungkin. Dua belas jam yang diperuntukkan itu sebenarnya tidak mencukupi. Tambahan pula saya bekerja sendiri," katanya.

Berita Harian X