Rabu, 5 April 2017 | 6:01pm

Kena jel 2 tahun tipu pembelian rumah PPR

WONG Chin Chok didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas empat pertuduhan menipu pembelian rumah Projek Perumahan Rakyat.- Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
WONG Chin Chok didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas empat pertuduhan menipu pembelian rumah Projek Perumahan Rakyat.- Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku salah empat pertuduhan menipu pembelian rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, di sini, dua tahun lalu.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Wong Chin Chok, 42, selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mengikut pertuduhan, Chin Chok, yang beralamat di Bukit Kecil, di sini, didakwa atas tiga pertuduhan memperdaya Wee Siew Kiok, 46, untuk mempercayai tertuduh boleh menolong mendapatkan rumah pangsa PPR Padang Hiliran di sini, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM11,946.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memperdaya Wee Siew Kiok sehingga mangsa menyerahkan RM3,982 kira-kira jam 9.30 malam pada 2 Ogos 2015 di lokasi beralamat A116 Blok A Bukit Kecil, di sini.

Chin Chok didakwa melakukan kesalahan sama bagi pertuduhan kedua kira-kira jam 10.30 malam pada 2 Disember 2015 di lokasi sama dan didakwa melakukan kesalahan sama kira-kira jam 8.30 pagi 25 Disember 2016 di lokasi sama bagi pertuduhan ketiga.

Bagi pertuduhan keempat pula, Chin Chok didakwa memperdaya Wong Chun Boon, 51, sehingga mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM8,000 kira-kira jam 9 malam pada 17 Januari 2016 di Pejabat Kedai Karaoke Apple, Jalan Balik Bukit, di sini.

Abdul Hayyi kemudian menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Mac lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X