Rabu, 5 April 2017 | 7:14pm

Sedania Innovator ceburi industri FinTech

KUALA LUMPUR: Pembiayaan peribadi sistem perbankan Islam dijangka berkembang RM31.9 bilion pada tahun 2020, didorong oleh permintaan dan penerimaan meluas masyarakat bukan beragama Islam.


DATUK Azrin Mohd Noor. - Foto Hafiz Sohaimi

Pengarah Urusan Sedania Innovator Bhd, Datuk Azrin Mohd Noor, berkata perkembangan itu adalah pertumbuhan sihat dengan perbankan Islam mencatat nilai pembiayaan berjumlah RM27.3 bilion pada 2016.

Berdasarkan perkembangan itu, beliau berkata, pihaknya kini juga sedang menyusun strategi pasaran untuk perkembangan lebih meluas platform teknologi kewangan pembiayaan patuh syariah.

"Pihak kami ingin menceburi industri teknologi kewangan (FinTech) yang akan memperkasakan pasaran sasaran dengan platform teknologi yang diperlukan untuk membuat keputusan yang lebih pantas dan tepat.

"Antaranya adalah kami kini sedang menilai untuk mengambil alih sistem As-Sidq yang dibangunkan Sedania As-Salam Capital (SASC) pada nilai pasaran RM12 juta.

"Pertimbangan pembelian akan dilunaskan melalui RM4 juta secara tunai dan baki RM8 juta melalui terbitan baru 25.8 juta saham biasa Sedania Innovator pada harga terbitan RM0.31 setiap satu.

"Menerusi cadangan pengambilalihan itu, SASC akan menyumbang jaminan keuntungan RM1.5 juta setahun bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 dan 2018," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azrin berkata, pengambilalihan itu memberikan Sedania Innovator akses dan berada di kedudukan kukuh dalam sektor kewangan patuh syariah dengan kekuatan As-Sidq dalam pasaran sedia ada serta pengenalan produk inovatif baharu

Katanya sistem As-Sidq sehingga kini sudah memproses lebih daripada 300,000 transaksi pembiayaan peribadi dengan jumlah pembiayaan bernilai lebih daripada RM25 bilion.

SASC, katanya, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, merekodkan keuntungan bersih RM1.1 juta berlandaskan pendapatan RM3.3 juta.

Beliau berkata, ia adalah prestasi kewangan lebih baik berbanding keuntungan bersih RM0.8 juta dan pendapatan RM2.2 juta pada tahun sebelumnya.

"Pertumbuhan positif ini disumbangkan oleh jumlah urus niaga permohonan pembiayaan peribadi lebih tinggi yang diluluskan oleh syarikat perkhidmatan kewangan, diperkukuhkan dengan penawaran produk baharu dalam simpanan tetap pada tahun ini," katanya.

Berita Harian X