Rabu, 5 April 2017 | 7:55pm

AirAsia sedia sambungan jalur lebar dalam pesawat

KUALA LUMPUR: Penumpang AirAsia bakal menikmati kemudahan sambungan internet jalur lebar berkelajuan tinggi dalam pesawat dengan liputan global, sambungan internet lebih pantas dan lancar menjelang 2018.

Ia susulan inisiatif syarikat penerbangan tambang rendah itu menaik taraf perkhidmatan SwiftBroadband Inmarsat kepada penyelesaian sambungan internet dalam pesawat generasi akan datang, GX Aviation Inmarsat yang dijangka mula dipasang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes, berkata menerusinya, pelanggan akan dapat menikmati sambungan internet lebih pantas dan memperoleh kandungan percuma seperti filem, muzik, artikel dan permainan menerusi platform ROKKI IFEC.

Katanya, penumpang juga dapat menggunakan perkhidmatan itu untuk membeli makanan, barangan dan produk bebas cukai dari tempat duduk masing-masing, sekali gus membuktikan syarikat memahami kehendak pelanggan serta memperbaiki perkhidmatan dalam pesawat.

"Pengembara udara kini mengharapkan sambungan jalur lebar pantas dan diyakini tidak kira di mana pun mereka berada sama ada di darat atau pada ketinggian 30,000 kaki di udara.

"Keupayaan GX Aviation yang lebih maju dalam sambungan internet dalam pesawat itu akan membantu kami merapatkan jurang antara pengalaman jalur lebar di darat dan dalam pesawat," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Inisiatif itu susulan langkah anak syarikat AirAsia iaitu ROKKI Sdn Bhd, memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Inmarsat bagi pemasangan GX Aviation dalam pesawat Airbus A320 dan A330 milik kumpulan penerbangan itu, bergantung kepada kontrak muktamad.

INFO:

GX Aviation

- penyelesaian jalur lebar dalam pesawat pertama dunia

- Sediakan sambungan yang diyakini,

- kelajuan tinggi liputan global

- menerusi operator tunggal

Berita Harian X