Khamis, 6 April 2017 | 6:00am

Malaysia, Turki contoh terbaik


GAMBAR fail, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (kanan) berjabat tangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC di Istanbul, pada April, 2016. - Foto AP

Malaysia dan Turki adalah dua negara terletak di dua lokasi sempadan berbeza di rantau Asia tetapi mempunyai jalinan hubungan yang rapat. Kedua-dua negara mempunyai struktur kenegaraan dan penduduk, sejarah politik dan perkembangan masa lampau yang berbeza. Bagaimanapun, dari segi nilai budaya dan semangat nasionalisme, kedua-dua negara ada persamaan.

Kedua-dua negara mengutamakan nilai keamanan, saling menyayangi, persaudaraan, mengutamakan kebajikan, bekerjasama dan solidariti melebihi kepentingan nasional.

Kedua-duanya juga semakin bangkit dari segi kemajuan dan pertumbuhan ekonomi selain beridentiti sebagai negara Islam manakala demokrasi diamalkan secara harmoni, mendukung prinsip kebebasan, menggerakkan ruang sfera diplomatik yang semakin luas dan menjalin hubungan rapat dengan dunia Barat.

Persahabatan dan kerjasama antara warga Turki dan orang Melayu juga sudah bermula seawal abad ke-15. Selain perjanjian perdagangan, kedua-dua negara meletakkan batu asas tali persaudaraan melalui perkahwinan antara anak perempuan Sultan Uthmaniyah dengan anak lelaki Sultan Melayu.

Usaha utusan empayar Uthmaniyah yang bertugas di Kepulauan Melayu membantu mewujudkan hubungan baik. Pihak Uthmaniyah jugalah yang membantu dari segi sokongan politik dan tentera kepada umat Melayu Nusantara yang memerangi penjajah Portugis dan Belanda.

Hubungan terbentuk

Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, hubungan diplomatik dengan Turki terbentuk semula pada 1964. Pun begitu, pada abad ke-20, hubungan dua hala kedua-duanya tidak begitu baik. Ia kembali segar dengan peranan membina kedua-dua negara dalam pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi D-8 yang dibentuk pada 1997. Mulai 2000, kerjasama mula dipertingkatkan ke tahap lebih tinggi. Hubungan ekonomi dilonjakkan menerusi kerjasama secara strategik melalui Pelan Tindakan Kerjasama Strategik yang ditandatangani pada 2014.

Ia membabitkan keputusan untuk meningkatkan perdagangan kedua-dua negara disusuli Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang mula berkuat kuasa pada 2015, antara detik bersejarah dalam hubungan dua hala Malaysia-Turki. Buktinya kenyataan yang dibuat oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada 2014 yang menyebut secara khusus perlunya kedua-dua negara bersaudara ini bersepakat, berbunyi:

"Kami sudah membuat ketetapan dan akan terus berfikiran Malaysia adalah negara rapat serta bersaudara dengan kami. Kami komited untuk berusaha dan meneruskan kerjasama dengan Malaysia bagi kepentingan kedua-dua negara, rantau Asia Pasifik dan seluruh dunia.

"Selagi Turki wujud di satu rantau penghujung Asia dan Malaysia di satu lagi, dengan izin Tuhan, harapan untuk keamanan tidak akan hilang."

(http://www.dha.com.tr/ozgurlugun-olmadigi-yerde_577632.html)

Menyusuli langkah memansuhkan keperluan visa, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak menyuarakan harapannya agar kedua-dua negara benar-benar berpegang kepada persepakatan apabila berkata:

"Kita mempunyai persamaan antara dua negara. Ada dalam kalangan kita berkongsi asal usul yang sama. Kita tidak sepatutnya memandang remeh warisan ini dengan mengambil langkah bersama untuk menerokanya semula." (http://www.haberler.com/turkiye-ile-malezya-stratejik-ortaklik-konusunda...)

Kedua-dua negara mencapai kejayaan pantas dalam mencapai sasaran melalui model pembangunan ekonomi mapan yang mengutamakan pengeluaran domestik dan eksport. Dibantu pelaburan bersama membabitkan modal dan pemindahan teknologi dalam sektor di mana institusi awam dan syarikat swasta memiliki pengalaman dan kepakaran, yang tentu memberi manfaat bersama. Pentadbiran Kuala Lumpur dan Ankara juga kebiasaannya bertindak selaras dengan pendirian organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, D-8 dan ASEAN.

Usaha sama komersial

Sememangnya usaha sama komersial dan diplomatik adalah penting. Bagaimanapun, faktor yang membolehkan kedua-dua negara bersatu dan bersolidariti tidak sepatutnya dihadkan dalam bidang berkenaan sahaja. Adalah wajar jika kedua-dua negara segera memberi perhatian kepada aktiviti pendidikan dan kebudayaan yang sehingga ini tidak begitu dihiraukan.

Antara yang sepatutnya dibentuk dan dipopularkan di universiti Turki ialah jabatan bahasa Melayu dan sejarah. Pada masa sama, jabatan bahasa, kesusasteraan dan sejarah Turki digerakkan juga di universiti Malaysia. Antara langkah yang perlu diambil bagi merealisasikannya ialah membenarkan pelajar universiti untuk mendapat pendidikan melalui program pertukaran pelajar.

Pemimpin Melayu dan Turki juga wajar berusaha secara bersama untuk menghasilkan jalan penyelesaian kepada masalah yang sekian lama menghantui rantau Asia Barat, Asia dan Afrika sekali gus memberi sumbangan kepada keamanan, kemakmuran, keadilan sosial dan kestabilan antarabangsa. Jika ini dapat dilakukan, mereka boleh berusaha mencapai matlamat tahap global dengan menggunakan hubungan di setiap rantau melalui kaedah diplomasi berteraskan pendekatan saling menyayangi, persahabatan dan persaudaraan.

Sudah tentu kerjasama secara meningkat itu akan memberi kuasa yang besar. Tambahan lagi, Malaysia dan Turki adalah negara Islam yang berimej positif, moden dan berpendidikan tinggi.

Kedua-dua negara memberi contoh terbaik kepada umat Islam dan dunia melalui ajaran yang dianjurkan oleh al-Quran termasuk demokrasi, kebebasan beragama, keamanan, keadilan dan persamaan taraf.

Penulis merupakan penulis Turki yang menghasilkan lebih 300 buku diterjemah kepada 73 bahasa mengenai politik, agama dan sains

190 dibaca
Berita Harian X