Khamis, 6 April 2017 | 12:17pm

Forest City mula tarik pelabur bina hab serantau

PROJEK Forest City di Johor.

KUALA LUMPUR: Country Garden Holdings Company Ltd (CGH), sedang mengadakan perbincangan yang positif bersama 30 syarikat dan pelabur berhubung kemungkinan menubuhkan hab serantau atau bersama membangun dan menguruskan aset hartanah di pulau buatan itu.

Syarikat pemaju projek Forest City di Johor itu dalam kenyataannya hari ini berkata, pelabur berkenaan adalah dalam sektor pelancongan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

"Menarik perniagaan ke dalam Forest City merintis jalan untuk membentuk sebuah hab ekonomi di Iskandar Malaysia dan kami menjangka akan membuat pelbagai pengumuman dalam beberapa bulan lagi," kata syarikat itu.

CGH berkata, ia kekal komited dengan pembangunan Forest City, memandangkan ia satu projek berpandangan jauh yang akan mengambil masa selama 20 tahun untuk menjadi kenyataan.

Katanya, memandangkan projek menyasarkan pembeli antarabangsa dan pasaran global, CGH kini dalam landasan tepat membina dan menyerahkan unit kediaman serta komersial mengikut jadual kepada pembeli mahu pun pelabur.

"Antara Januari dan Disember 2016, kami menjual 15,000 unit kediaman (terdiri daripada kondominium dan vila).

"Tahun ini, kami menjangkakan pendapatan lebih pelbagai daripada jualan dan sewaan pelbagai hartanah seperti pejabat, gedung beli belah, sebuah hotel baharu serta lapangan golf, di samping hartanah kediaman," katanya.

Mengenai isu tempahan rumah dibatalkan, ia menjelaskan bahawa mana-mana pembatalan selepas perjanjian jual dan beli ditandatangani adalah satu pelanggaran kontrak.

Klausa penalti, yang katanya antara 10 dan 30 peratus hanya berkuat kuasa apabila seseorang pembeli, yang sudah membuat keputusan membeli unit kediaman tertentu kemudiannya gagal membuat bayaran atau membatalkan perjanjian jual dan beli.

"Terma dan syarat yang ditetapkan di dalam perjanjian jual beli kami adalah mengikut undang-undang dan standard Malaysia. Set lengkap perjanjian jual dan beli boleh diakses dalam bahasa Inggeris dan Cina di semua galeri jualan kami di China," katanya.

CGH berkata, sejak 13 Mac lalu, semua galeri jualannya di China sudah menghentikan perkhidmatan sokongan perjalanan kepada rakyat republik itu ke Forest City.

"Ini bermakna, pembeli yang berminat dengan projek Forest City perlu mencari kaedah sendiri untuk ke galeri jualan di Iskandar Malaysia," katanya.

Berita Harian X