Khamis, 6 April 2017 | 12:39pm

23 kesalahan jalan raya kena mata demerit


KETUA Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron ketika sidang media mengenai Sistem Mata Merit di Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Sebanyak 23 kesalahan jalan raya akan dimasukkan dalam Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS)

secara berperingkat menjelang akhir tahun ini di bawah sistem mata demerit.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron, berkata ia bermula dengan kesalahan memandu melebihi had laju dan pelanggaran lampu merah, yang akan dikuatkuasa pada 15 April ini.

Tambah beliau, antara kesalahan lain yang akan dikenakan mata demerit ialah membawa lebih muatan daripada had ditetapkan dan muatan terjatuh atau tumpah sehingga menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

"Selain itu, kesalahan ingkar arahan pegawai penguatkuasa seperti polis, pegawai JPJ, dan warden lalu lintas, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu dalam keadaan mabuk, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal juga akan dikuatkuasa secara berperingkat.

"Kita jangka semua kesalahan ini akan dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun ini," katanya pada sidang media bagi memaklumkan Pelaksanaan Sistem Mata Demerit 2017, di sini hari ini.

Nadzri turut meminta pengguna jalan raya supaya memberi kerjasama ketika AWAS dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan dengan mengemaskini alamat terkini supaya notis dapat disampaikan kepada pesalah.

"Kita tidak mahu mereka ini beri alasan tidak mengetahui kesalahan yang dilakukan atau tidak menerima sebarang notis daripada JPJ.

"Selain itu, saya turut mengarahkan pejabat JPJ di semua cawangan untuk meminta pelanggan mengemaskini alamat terbaharu mereka," katanya.

Nadzri turut memaklumkan bahawa antara 1 April hingga hari ini, sebanyak 4,949 saman sudah dikeluarkan menerusi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

 

453 dibaca
Berita Harian X