Khamis, 6 April 2017 | 4:03pm

UUM pengedar sah minyak pelincir Grantt

NAIB Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak (kanan) mendengar penerangan mengenai minyak pelincir Grantt oleh Presiden Bahagian Kejuruteraan & Pembuatan UMW Megat Shahrul Azmir Nordin. - Foto Noorazura Abdul Rahman

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi universiti pertama yang dilantik sebagai pengedar minyak pelincir Grantt yang dihasilkan UMW Grantt International Sdn Bhd (UMWG), anak syarikat milik penuh Kumpulan UMW.

Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata lantikan terbabit menyaksikan anak syarikat UUM, Uniutama Property Sdn Bhd (UPSB) menjadi pengedar sah.

Katanya, lantikan terbabit membolehkan UUM meluaskan kemahiran keusahawanan sekali gus membuka mata masyarakat bahawa dunia akademik dan industri perlu seiring untuk pembangunan ilmu.

"Minyak pelincir terbabit juga akan diedarkan dengan harga diskaun kepada 25,000 pelajar dan warga kerja UUM.

"Semua kenderaan UUM termasuk bas, kereta dan jentera akan menggunakan minyak pelincir ini kerana kualitinya yang bertaraf antarabangsa serta pengalaman 45 tahun UMW dalam industri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UUM dan UMWG di sini, hari ini.

Memeterai MoA itu, UUM diwakili Mohamed Mustafa manakala UMWG diwakili Presiden Bahagian Kejuruteraan dan Pembuatan UMW, Megat Shahrul Azmir Nordin.

Berita Harian X