Khamis, 6 April 2017 | 8:07pm

IRDA rancang bina satu lagi loji kumbahan bersepadu


DATUK Ayub Rahmat (dua dari kanan) diiringi Datuk Bandar Johor Bahru, A Rahim Nin (kiri) dan Ketua Bahagian Projek IRDA, Mohd Zam Mustaman (kanan) melihat model Kompleks rawatan air Sungai Segget sempena lawatan projek Sungai Segget di Bandaraya Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) merancang membina sebuah lagi loji rawatan kumbahan bersepadu bagi meningkatkan lagi kecekapan pengurusan sisa pepejal di Sungai Segget, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata projek dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu dirancang dibangunkan menerusi fasa keempat projek Projek Transformasi Sungai Segget dijangkakan September ini.

Katanya, menerusi pakej 1 dan 2 yang siap Disember lalu, membabitkan pembinaan loji rawatan di Wadihana, sistem retikulasi dan menaik taraf saluran Sungai Segget.

"Setakat ini IRDA dan MBJB sedang dalam peringkat kajian untuk membina loji itu di bahagian huluan Sungai Segget, bermula dari Wadihana sehingga Taman Century di sini.

"Ini kerana terdapat keperluan mendesak susulan pembangunan pesat di huluan Sungai Segget termasuk pembinaan bangunan komersial dan kediaman di kawasan berkenaan," katanya pada sidang media selepas taklimat perkembangan projek pengindahan Sungai Segget, di sini hari ini.

Ayub berkata selain kajian, IRDA juga sedang memohon peruntukan kepada Kerajaan Pusat bagi pembinaan loji berkenaan, namun perincian projek masih belum dapat didedahkan.

Katanya, loji sedia ada yang siap dibina Disember lalu, hanya menampung rawatan kumbahan di sekitar kawasan pusat bandar raya yang merangkumi bangunan komersial dan premis perniagaan.

Ditanya mengenai pelaksanaan pakej 3 Projek Transformasi Sungai Segget untuk kerja landskap, Ayub berkata, ia akan dilaksanakan September ini dengan reka bentuknya sudah disiapkan dan satu badan khas akan dilantik bagi mengendalikan projek berkenaan.

Sebelum ini Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled dilaporkan berkata, fasa 3 projek yang membabitkan kerja landskap bagi mengindahkan kawasan Sungai Segget, membabitkan perbelanjaan RM40 juta.

Katanya, projek itu menerima sebanyak RM280 juta dari Kerajaan Pusat yang mana fasa 1 dan 2 membabitkan kos RM240 juta.

105 dibaca
Berita Harian X