Khamis, 6 April 2017 | 9:47pm

Herbal Asia 2017 jangka raih jualan RM10j

SAFINAH Yaakob menandatangani dokumen sambil disaksikan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (tengah) di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Pameran Herbal Asia 2017 (PHA'17) mengunjurkan meraih jualan RM10 juta berbanding RM5 juta tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PHA'17, Safinah Yaakob, berkata sasaran itu dapat dicapai dengan 350 peserta pameran mengambil bahagian.

Safinah berkata, pihaknya turut menyasar mendapatkan penyertaan daripada 20 syarikat antarabangsa.

"Setakat ini, terdapat 12 syarikat antarabangsa mengambil bahagian.

"Kami juga menjangkakan lebih banyak transaksi akan dapat dimeterai selepas acara itu dengan kemungkinan syarikat memesan bahan mentah selain usaha sama dan kerjasama tentatif dengan syarikat tempatan," katanya.

Safinah berkata, dengan matlamat meningkatkan standard antarabangsa pameran itu, Investor Exchange akan diadakan dengan sasaran untuk membawa masuk pelabur luar untuk memacu inovasi dan peluang.

Sementara itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang merasmikan acara itu, berkata di bawah Program Transformasi Ekonomi, pendapatan negara kasar (PNK) yang dijana oleh produk herba boleh mencecah hingga RM2.23 bilion.

"Herbal Asia menjadikan Malaysia sebagai antara hab dagangan utama di Asia Tenggara. Melalui pameran itu, pelabur asing menyedari bahawa terdapat sumber yang belum dimanfaatkan dalam negara yang perlu diterokai," katanya.

Wilfred berkata sempena pameran itu, Herbal Asia Global Award 2017 akan diadakan untuk mengiktiraf dan menghargai penyumbang utama dan individu yang berjaya dalam industri herba.

Pameran yang memasuki penganjuran tahun ke-10 bakal berlangsung 20 hingga 22 September ini bertemakan 'Ke Arah Pasaran Mampan: Amalan, Inovasi dan Pengkomersialan'. - BERNAMA

Berita Harian X