Khamis, 6 April 2017 | 10:55pm

Brahim's SATS tawar produk 'seperti dalam pesawat'


PENGERUSI Eksekutif Dewina Holdings, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi (tengah) dan Perkhidmatan Makanan SATS Ketua Pegawai Eksekutif Brahim, Ainul Hasnizam Abu Hassan (kanan) dengan Pengarah Urusan Kumpulan Dewina Holdings, Nur Fatin Ibrahim semasa taklimat media Brahims di MIHAS 2017. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Brahim's SATS Food Services Sdn Bhd, katering halal dalam pesawat terbesar dunia, mengembangkan lagi perkhidmatan dengan menawarkan produknya kepada pengguna awam di luar lingkungan industri penerbangan bermula tahun ini.

Produk dengan kualiti 'makanan-dalam-pesawat' keluaran syarikat itu akan turut tersedia untuk pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), makanan dalam troli untuk pelanggan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTM), 7-Eleven, BreadTalk, LCatering, City Harbour International School dan Emirates Lounge.

Ketua Pegawai Eksekutif Brahim's SATS, Ainul Hasnizam Abu Hasan, berkata inisiatif itu bertujuan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan kepakaran syarikat dalam mengeluarkan makanan-dalam-pesawatnya untuk pelanggan syarikat penerbangan.

Beliau berkata, menerusi inisiatif itu syarikat berharap kebergantungan kepada perniagaan katering-dalam-pesawat dapat dikurangkan bagi mencapai sasaran 10 peratus sumbangan pendapatan perniagaan katering-bukan-penerbangan.

"Kami baru mulakan perniagaan katering-bukan-penerbangan pada tahun ini, dan Alhamdulillah kami berjaya memuktamadkan beberapa kontrak baharu dalam segmen itu.

"Bergerak ke hadapan, kami menyasarkan perniagaan katering-bukan-penerbangan akan menyumbang 10 peratus kepada pendapatan syarikat dengan meraih antara RM30 juta hingga RM40 juta perniagaan baharu dalam tempoh dua tahun," katanya pada sidang media sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di sini, hari ini.

Turut berlangsung ialah pelancaran gerai Brahim's di MIHAS yang menempatkan Dewina Food Industry Sdn Bhd, Dewina Trading Sdn Bhd, Dewina Consult Sdn Bhd, dan Brahim's SATS.

Hadir sama, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Brahim's Holdings Bhd, Datuk Seri Ibrahim Ahmad dan Pengarah Urusan Kumpulan Dewina Holdings Sdn Bhd, Nur Fatin Ibrahim.

Sementara itu, Ibrahim berkata, usaha mengurangkan kebergantungan pendapatan perniagaan-penerbangan yang kini mencecah 85 peratus itu turut menyaksikan kumpulan Brahim's menggembleng aset sedia ada untuk pengembangan segmen perniagaan-bukan-penerbangan.

"Ketika ini segmen perniagaan-bukan-penerbangan kumpulan disumbangkan gudang di Tamadam, 15 restoran lapangan terbang di bawah Dewina Host, dan dapur katering-bukan-penerbangan," katanya.

66 dibaca
Berita Harian X