Jumaat, 7 April 2017 | 6:54am

BMW Motorrad Malaysia perkenal BMW K 1600 GT


BMW K 1600 GT dilengkapi enjin enam silinder sebaris paling ringan dan kompak untuk motosikal berkapasiti lebih 1,000 sentimeter kubik.

BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan motosikal mewah dan berkuasa BMW K 1600 GT, model yang dihasilkan sepenuhnya sebagai sebuah jentera tourer serta meneruskan DNA BMW Motorrad iaitu `Making Life a Ride'.

BMW K 1600 GT ditawarkan pada harga cadangan dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) RM159, 900.

Selain beberapa penambahbaikan baharu untuk meningkatkan keupayaan tunggangannya, BMW K 1600 GT baharu juga menampilkan aspek aerodinamik yang dioptimumkan.

Ia merangkumi perehat kaki, tempat duduk dan posisi bar hendal - semua ini menyumbang kepada posisi duduk yang lebih aktif dan pada masa sama mengekalkan tahap keselesaan yang tiada tandingan.

Ketika memperkenalkan motosikal baharu itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun, berkata BMW K 1600 GT dilengkapi enjin enam silinder sebaris menjadi satu bahagian penting dalam sejarah dan identiti jenama BMW selama lebih 100 tahun sejak terciptanya enjin pesawat BMW IIIa.

Katanya, BMW Motorrad dilihat berjaya memindahkan tradisi itu ke dalam industri motosikal premium menerusi BMW K 1600 GT yang dilengkapi enjin enam silinder sebaris paling ringan dan kompak untuk motosikal berkapasiti lebih 1,000 sentimeter kubik.

"Dibekalkan dengan enjin enam silinder sebaris paling kompak dalam siri produksi motosikal setakat ini, BMW K 1600 GT baharu jelas menyerlahkan kepakaran BMW Motorrad dalam bidang kejuruteraan automotif.


BMW K 1600 GT.

"Enjin ini menjamin aspek tujahan kuasa, tawaran tork tinggi dan tunggangan yang lancar. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 118 kW (160 hp) pada 7,750rpm dan tork maksimum 175Nm pada 5,250rpm, paling tinggi dalam kelasnya," katanya menerusi kenyataan di Kuala Lumpur.

Dengan berat 102.6 kilogram, enjin enam silinder pada motosikal premium itu juga mengekalkan kedudukannya selaku enjin siri produksi enam silinder paling ringan untuk motosikal melebihi 1,000cc.

Ruang silider yang sangat sempit membuatkannya lebih kecil berbanding enjin enam silinder sebaris lain, sekali gus memberikan hasil enjin yang lebih kompak dan menjanjikan pengendalian yang dinamik.

Dalam usaha berterusan BMW Motorrad untuk menaikkan standard tunggangan motosikal, BMW K 1600 GT dilengkapi fungsi Reverse Assist yang menawarkan bantuan ketika hendak mengundur.

Ia turut menawarkan tiga mod tunggangan "Rain", "Road", dan "Dynamic" selain Dynamic Traction Control (DTC) untuk keselamatan maksimum ketika memecut.

BMW K 1600 GT kini turut dilengkapi sistem Shift Assistant Pro, yang membolehkan penunggang menaik atau menurunkan kedudukan gear tanpa perlu mengacip klac atau injap pendikit dalam julat beban serta kelajuan enjin tertentu.

Info:

BMW K 1600 GT

* Harga cadangan dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) RM159, 900

* Enjin enam silinder sebaris paling ringan dan kompak

* 118 kW (160 hp) @ 7,750rpm

* Tork maksimum 175Nm @ 5,250rpm

* 3 mod tunggangan "Rain", "Road", dan "Dynamic"

Berita Harian X